22 February 2011

Krisis Timur Tengah : Kenyataan Akhbar Wisma Putra

KENYATAAN AKHBAR
BERKENAAN SITUASI SEMASA DI ALGERIA, BAHRAIN,
LIBYA DAN YEMEN

 
Kementerian Luar Negeri sentiasa memantau perkembangan terkini situasi di Algeria, Bahrain, Libya dan Yemen berikutan rusuhan dan tunjuk perasaan yang berlaku di negara-negara tersebut. Setakat ini, Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, Algeria; Manama, Bahrain; Tripoli, Libya; dan Sana’a, Yemen telah melaporkan bahawa kesemua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di negara-negara tersebut berada dalam keadaan selamat dan tidak terlibat di dalam rusuhan yang berlaku. Jumlah rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di Algeria adalah 60 orang, 500 orang di Bahrain, 150 orang di Libya dan 646 orang di Yemen.
 
Kementerian juga ingin menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara tersebut untuk mengikuti perkembangan terkini dan berhubung dengan pihak Kedutaan bagi mendapatkan sebarang bantuan sekiranya perlu.
 
Kementerian Luar Negeri telah mengarahkan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, Manama, Tripoli dan Sana’a untuk menghubungi dan menasihati semua pelajar dan rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di negara-negara berkenaan supaya mengambil langkah-langkah keselamatan sewajarnya dan mengelakkan dari berada di tempat-tempat yang berisiko tinggi tercetusnya rusuhan. Pada masa yang sama, pihak Kedutaan akan terus memantau keadaan terkini di negara-negara berkenaan serta mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi memastikan semua rakyat Malaysia berada di dalam keadaan yang selamat.
 
 
 
Kementerian Luar Negeri
PUTRAJAYA
 

No comments:

Post a Comment