10 February 2011

Krisis Mesir : Update Dari Akhbar..


Dua kumpulan penuntut Sabah di Mesir tiba esok

10/02/2011 6:52pm

KOTA KINABALU, 10 Feb. - Dua lagi kumpulan penuntut Sabah di Mesir akan tiba di sini esok manakala sekumpulan empat orang lagi akan meninggalkan Kaherah pada 13 Februari, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sukarti Wakiman.

Seramai 63 penuntut dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pukul 9 malam ini, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

"Ini termasuk seorang pelajar dan lima orang ahli keluarga Ustaz Sabli Aliju, Pegawai Tadbir Yayasan Sabah di Kaherah yang ada di Kuala Lumpur.

"Yang lain dijangka menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu dan tiba pada awal pagi esok, iaitu pukul 12.45 pagi,” katanya. - Bernama

Ops Piramid: Gabungan NGO Islam lahir penghargaan

10/02/2011 3:17pm

PUTRAJAYA, 10 Feb. - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam hari ini melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di atas kejayaan Ops Piramid, misi bagi menyelamat pelajar dan rakyat Malaysia dari Mesir.

Gabungan dianggotai 60 persatuan itu yang diketuai oleh Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr. Maamor Osman menyerahkan memorandum penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Najib di pejabat Perdana Menteri di sini.

Dr. Maamor berkata, dalam pertemuan dengan Najib itu, gabungan itu menyatakan penghargaan, perasaan terharu dan tahniah kepada Perdana Menteri dan pasukannya yang berjaya mengeluarkan rakyat Malaysia daripada krisis di Mesir dalam keadaan selamat pada tempoh yang sangat singkat.

"Ini adalah bukti yang sekiranya kita fokus kepada (slogan) Rakyat Didahulukan, kerja berpasukan, fokus kepada menyelesaikan masalah, apa yang sukar akan dapat diatasi,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Dr. Maamor berkata, pihaknya turut meminta jasa baik Perdana Menteri supaya memberi peluang kepada pelajar berkenaan daripada segi membenarkan mereka menyambung pelajaran sama ada di Malaysia atau di mana-mana tempat yang difikirkan perlu dan munasabah. - Bernama


No comments:

Post a Comment