07 February 2011

Krisis Mesir: Kenyataan Akhbar Dari Wisma Putra 06.02.11

KENYATAAN AKHBAR

PROSES EVAKUASI RAKYAT MALAYSIA DI MESIR


Kerajaan Malaysia telah berjaya mencapai objektif untuk memindahkan pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir ke Jeddah. 

Proses evakuasi rakyat Malaysia telah dilakukan dengan jayanya melalui kerjasama di antara Kementerian Luar Negeri dengan Majlis Keselamatan Negara, Angkatan Tentera Malaysia, Tabung Haji dan agensi-agensi Kerajaan yang lain serta Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia yang telah bermula pada 3 Februari 2011. 

Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang telah di pindah keluar sehingga jam 7.00 malam, 6 Februari 2011 adalah seramai 5,799 orang. 

Mereka telah ditempatkan di Kompleks Tabung Haji di Jeddah. Kementerian Luar Negeri menjangkakan jumlah yang akan dipindahkan dari Mesir menjelang hari Isnin, 7 Februari 2011 adalah seramai lebih kurang 7,000 orang.

Penerbangan pertama yang akan membawa rakyat Malaysia dari Jeddah iaitu melalui pesawat MAS MH8029 dan Air Asia akan tiba di tanah air pada hari Isnin, 7 Februari 2011 jam 10.00 pagi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri serta Isteri, YB Dato’ Sri Anifah Hj. Aman, Menteri Luar Negeri serta beberapa Menteri Kabinet akan menyambut ketibaan rakyat Malaysia dari Mesir.

Dalam pada itu, situasi semasa di Mesir semakin bertambah baik di mana kebanyakan kedai makanan dan minuman telah mula beroperasi seperti biasa.

 Perkhidmatan perbankan juga mula beroperasi pada waktu-waktu tertentu bermula pada hari Ahad, 6 Februari 2011. 

Tunjuk perasaan di bandar-bandar utama di Mesir seperti Iskandariah dan Suez pula mula berkurangan manakala situasi keselamatan dan ketegangan di Kaherah lebih tertumpu di Medan Tahrir yang melibatkan penyokong pro-Presiden Mubarak dan pihak anti-kerajaan yang dilaporkan masih berterusan. 

Memandangkan keadaan bertambah baik, kemungkinan ada pelajar-pelajar Malaysia yang tidak berhasrat untuk balik ke Malaysia. Bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah bersedia memindahkan pelajar-pelajar Malaysia yang masih lagi berhasrat untuk balik ke Malaysia.


PUTRAJAYA

6 Februari 2011