22 February 2011

Berita-berita mengenai Gempa Bumi di Christchurch, New Zealand





Gempa NZ: Wisma Putra buka bilik operasi

22/02/2011 6:32pm

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kementerian Luar telah menggerakkan Bilik Operasinya di Putrajaya bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat berhubung situasi terbaru gempa bumi di Christchurch, New Zealand.

Kementerian itu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, bilik operasi itu boleh dihubungi menerusi nombor 03-88874570, 03-88874770, 03-88892746 dan 03-88892830.

Orang ramai boleh juga menghubungi Siti Jalilah Abd Manap, pegawai di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, menerusi nombor 64-21-02102167 atau faks 64-43856973 dan emel: jpanz01@xtra.co.nz.

Suruhanjaya Tinggi itu sedang memantau keadaan dan sentiasa berhubung dengan persatuan pelajar Malaysia di Christchurch dan dengan pihak berkuasa New Zealand bagi mendapatkan maklumat terbaru dan nasihat sewajarnya.

Suruhanjaya itu telah menghantar pegawai-pegawai untuk membuka dan mengendali bilik operasi di Christchurch bersama Jabatan Pelajar Malaysia, kata kenyataan itu. - Bernama

Gempa di NZ: Lebih 200 terperangkap di bawah runtuhan

22/02/2011 3:50pm

WELLINGTON 22 Feb. – Lebih 200 orang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Christchurch akibat gempa bumi yang melanda pulau itu, lapor media yang memetik kenyataan Datuk Bandar, Bob Parker.

Parker menganggarkan antara 150 hingga 200 orang terperangkap berikutan gempa bumi dengan kekuatan 6.3 skala Richter, dengan 65 orang dipercayai terkorban, kata Radio New Zealand.

Parker sebelum itu memberithau TVNZ bahawa jumlah kematian mungkin meningkat. - AFP


Gempa: Hubungan hanya dibuat melalui SMS - pelajar

22/02/2011 3:45pm

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Pelajar Malaysia di Christchurch, bandar raya kedua terbesar di New Zealand yang dilanda gempa bumi berskala 7.3 hari ini hanya dapat berhubungan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Keadaan di bandar raya ini (Christchurch) agak teruk dengan 65 kematian dilaporkan setakat ini. Hubungan telefon tidak berapa baik, sukar menghubungi orang lain, kami hanya dapat menghantar SMS,” kata Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Canterbury (CMSA), Poh Eng Eu kepada Bernama melalui e-mel.

Beliau yang berasal dari Petaling Jaya berkata rumah yang didiaminya turut bergegar.
Terdapat sejumlah masyarakat Malaysia di Christchurch.

Eng Eu berkata, selepas gempa berlaku, beliau dihujani dengan panggilan telefon dan SMS daripada ahli keluarga dan sanak-saudara pelajar dari Malaysia dan negara lain.

Kesemua rakyat Malaysia termasuk 390 pelajar di Christchurch dilaporkan selamat. - Bernama


Gempa: 390 pelajar Malaysia di Christchurch selamat

22/02/2011 3:02pm

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kesemua rakyat Malaysia termasuk 390 pelajar yang berada di Christchurch, New Zealand dilaporkan berada dalam keadaan selamat selepas gempa bumi kuat melanda bandar raya itu hari ini.

Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay ketika dihubungi berkata, pegawai di kedutaan Malaysia di Wellington telah diarahkan ke Christchurch untuk memantau keadaan di sana.

Usaha menghubungi para pelajar Malaysia di sana gagal kerana bandar raya itu dilaporkan mengalami gangguan telefon dan bekalan elektrik akibat gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter.

Ini merupakan kali kedua bandar raya itu dilanda gempa bumi dalam tempoh enam bulan, selepas kali pertama pada September lepas di mana gempa berukuran 7.1 pada skala Richter mengakibatkan kerosakan serius kepada bangunan dan jambatan. - Bernama


No comments:

Post a Comment