12 February 2011

Ops Piramid : 225 rakyat Malaysia masih berada di Mesir


2011/02/11

KUALA LUMPUR: Bilangan rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir yang bergolak berikutan tunjuk perasaan rakyat membantah pemerintahan Presiden Hosni Mubarak adalah seramai 225 orang. 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata daripada angka yang berdaftar dengan kedutaan, seramai 16 orang akan pulang ke Malaysia.
"Kedutaan Malaysia di Kaherah akan menyediakan keperluan sewajarnya bagi membantu penuntut," katanya dalam satu kenyataan Wisma Putra hari ini.
Sehingga hari ini, beliau berkata jumlah rakyat Malaysia yang berjaya dipindahkan keluar dari Mesir ke Jeddah berjumlah 7,727 dan 6,143 orang telah selamat kembali ke Kuala Lumpur. 

"Sejumlah 1,584 rakyat Malaysia kini sedang menunggu penerbangan pulang ke tanah air di Kompleks Tabung Haji di Jeddah," katanya. 

Anifah berkata, seramai 1,010 rakyat Malaysia akan terbang pulang ke tanah air dari Jeddah ke Kuala Lumpur esok menggunakan penerbangan sewa khas MAS dan penerbangan komersil lain. 

"Sekumpulan 574 orang pula akan kembali ke Malaysia sehari kemudian," katanya. - BERNAMA PNW LES HS