05 February 2011

Krisis Mesir : Pelajar akan dihantar pulang berperingkat-peringkat

Sebahagian pelajar Malaysia memasuki pesawat TUDM C130 yang memuatkan kira-kira 200 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Cairo pada Sabtu. Foto BERNAMA

05/02/2011 11:21am

JEDDAH 5 Feb. – Kumpulan pelajar Malaysia yang berjaya dibawa keluar dari Kaherah, Mesir ke sini akan dihantar pulang ke tanah air secara berperingkat-peringkat bermula hari ini.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Datuk Mohd Hidayat Abdul Hamid berkata, keutamaan akan diberi kepada pasangan suami isteri yang mempunyai anak kecil, mereka yang uzur, wanita dan mereka yang sakit.

"Buat masa ini, keutamaan kita (ialah) pada mereka yang uzur dan yang memerlukan perhatian yang sewajarnya. Kita akan mengambil tindakan yang sebaik mungkin untuk memastikan kebajikan pelajar yang ada anak kecil (dan) uzur akan dihantar pulang dengan segera.

"Insya-Allah akan bermula esok (Sabtu) penghantaran pulang pelajar ke Malaysia,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini pada Jumaat.

Pada masa yang sama, beliau meminta semua ibu bapa dan keluarga pelajar supaya bersabar menunggu kepulangan anak masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga pukul 9.20 malam waktu tempatan (2.20 pagi waktu Malaysia), seramai 1,036 pelajar telah berjaya dibawa keluar dari Kaherah oleh pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 747 serta AirAsia dan kini ditempatkan di pusat transit Madinatul Hujaj di sini. – Bernama

No comments:

Post a Comment