12 February 2011

Krisis Mesir: Update Dari Akhbar



Kedutaan Malaysia terus pantau keadaan di Mesir

12/02/2011 7:23pm

KUALA LUMPUR 12 Feb — Kedutaan Malaysia di Kaherah akan terus memantau keadaan di Mesir biarpun Presiden Hosni Mubarak telah mengumumkan untuk meletak jawatan semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata sehingga hari ini seramai 1,584 rakyat Malaysia masih menunggu untuk dibawa pulang ke tanah air dari Jeddah.

Kementerian Luar memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir berada dalam keadaan selamat dan menjangkakan proses membawa pulang kumpulan terakhir seramai 574 orang akan berakhir Isnin depan. — Bernama

Tangguh dulu pulang - Anifah Aman

12/02/2011 6:30pm

MEMBAKUT 12 Feb — Rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir dinasihatkan supaya tidak pulang ke Malaysia buat sementara waktu kerana keadaan di negara bergolak itu dipercayai akan beransur pulih berikutan peletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak malam tadi.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata kementeriannya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, akan sentiasa memantau keadaan di negara itu.

"Kita akan melihat dulu situasi sekarang sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada pemberita semasa lawatannya ke beberapa kampung yang terjejas dengan banjir di sini hari ini.

Mubarak akhirnya tunduk kepada revolusi rakyat Mesir yang membantah pemerintahannya sejak 30 tahun dan mengumumkan peletakan jawatannya melalui Naib Presiden Omar Suleiman yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen kira-kira tengah malam waktu Malaysia malam tadi.

Demonstrasi jalanan bagi membantah pemerintahan Mubarak diadakan di bandar-bandar besar di Mesir sejak 25 Jan lepas. — Bernama

No comments:

Post a Comment