03 February 2011

Krisis Mesir: Kedutaan Malaysia lancar Pelan Tindakan Evakuasi Pelajar di Mesir

KUALA LUMPUR 3 Feb — Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah melancarkan Pelan Tindakan Evakuasi untuk membawa keluar warga Malaysia, khususnya pelajar dari negara bergolak itu.


Berdasarkan kenyataan yang disiarkan di blog Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, operasi pelan bermula dari semalam, di mana rakyat Malaysia akan dibawa keluar melalui penerbangan ataupun pelayaran.

Berdasarkan modus operandi pelan berkenaan, mereka yang masih berada di negara itu akan dikumpulkan di beberapa tempat sebelum penerbangan keluar dibuat dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kesemua individu yang diselamatkan melalui penerbangan ehsan akan dikumpulkan di Jeddah.
Individu dari Kaherah akan berkumpul di Kompleks Haiyyu Ashir dan DMAK; dari Iskandariah akan berkumpul di Rumah MARA manakala mereka dari Mansourah pula akan diterbangkan ke Iskandariah sebelum dibawa ke Jeddah dan berkumpul di Hotel New Mansourah. — Bernama


SEKUMPULAN krew penerbangan TUDM yang pertama dalam misi bantuan untuk membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia di Mesir bersiap sedia sebelum menaiki pesawat Charlie di Pangkalan Udara Subang, semalam.


KOTA KINABALU 2 Feb. – Kesemua rakyat Malaysia yang sedang berhadapan dengan situasi sukar di Mesir, dijangka dapat dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi dalam tempoh empat hari setengah.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (gambar) berkata, pemindahan itu akan dilakukan secepat mungkin selepas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat khas milik Malaysia Airlines System (MAS) dan AirAsia tiba di Kaherah.

Selain itu, katanya, Kapal Bunga Mas 5 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden juga akan digunakan untuk memindahkan rakyat Malaysia.

“Keutamaan kita adalah bagi memindahkan dahulu pelajar dan rakyat Malaysia ke Jeddah dan kemudiannya barulah dibawa balik ke Malaysia secara berperingkat-peringkat.

“Jika keadaan berjalan lancar, kita menjangkakan kira-kira 3,000 rakyat Malaysia akan dipindahkan setiap hari,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lebih 11,000 rakyat Malaysia direkodkan berada di Mesir dan pelajar mencatatkan jumlah tertinggi.
Menurut Anifah, tiga pesawat C-130 TUDM dijadual berlepas ke Mesir tengah hari ini manakala pesawat A320 milik AirAsia pula akan berlepas ke Kaherah pada pukul 2.30 petang ini.

Tambahnya, pesawat Boeing 747 milik MAS yang boleh membawa 285 penumpang pula dijadualkan berlepas ke Kaherah, Mesir, esok.

Katanya, turut serta dalam pesawat AirAsia yang membawa makanan hari ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

Beliau memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menghubungi Raja Arab Saudi bagi membolehkan rakyat Malaysia yang keluar dari Mesir ke Jeddah dikecualikan daripada visa.
Tambahnya, Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Luar Mesir bagi memudahkan pemindahan rakyat Malaysia ke Arab Saudi.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam berhadapan situasi yang sukar ini, kerajaan turut bekerjasama dengan Indonesia bagi mengeluarkan rakyat kedua-dua negara itu ke Jeddah.

“Kita telah bersetuju untuk membantu antara satu sama lain, jika terdapat kekosongan di dalam pesawat (Indonesia), mereka akan turut membawa rakyat kita begitulah sebaliknya kita akan membuat perkara yang sama,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa pelajar supaya bersabar dan tidak pergi ke Mesir bagi mengelakkan mereka turut terkandas

Kapal TUDM Bunga Mas 5 yang akan turut digunakan.