06 February 2011

Krisis Mesir: Update Dari Utusan Malaysia


Arab Saudi pinjamkan dua pesawat hantar pulang penuntut

06/02/2011 11:25am

JEDDAH 6 Feb. - Kerajaan Arab Saudi turut membantu dalam proses penghantaran pulang penuntut Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir dan kini sedang ditempatkan di pusat transit Madinatul Hujaj, di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan Arab Saudi telah bersetuju membenarkan dua pesawat milik Saudi Airlines digunakan bagi membantu mempercepatkan proses membawa pelajar pulang ke tanah air.

"Kerajaan Arab Saudi telah bermurah hati memberi kita penerbangan ihsan menggunakan dua buah pesawatnya jenis 747 iaitu jumbo jet Saudi Airlines,” katanya kepada di sini. - Bernama


Madinatul Hujaj semakin dipenuhi penuntut Malaysia

06/02/2011 1:03pm

JEDDAH 6 Feb. - Tabung Haji dan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi akan memikirkan kaedah lain bagi menempatkan para penuntut Malaysia dari Mesir sekiranya jumlahnya melebihi keupayaan pusat transit Madinatul Hujaj, di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sehingga kini lebih 3,600 orang penuntut telah ditempatkan di pusat transit itu yang boleh menampung sehingga 4,000 orang pada satu-satu masa.

“Bagaimanapun ini bukan menjadi masalah kerana pihak Tabung Haji berpengalaman menguruskan sehingga hampir 30,000 orang jemaah haji setiap kali musin haji.

"Kita sedang menambah bilangan tilam dan bantal yang boleh digunakan pelajar kita. Pada Ahad penghantaran pulang sebahagian pelajar akan membolehkan kita mengurangkan kepadatan dan menerima pelajar lain yang baru sampai dari Kaherah,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini. - Bernama

Lebih 4,000 rakyat dan pelajar Malaysia dikeluarkan dari Mesir

06/02/2011 2:38pm

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Seramai 4,733 rakyat serta penuntut Malaysia dikeluarkan dari beberapa bandar di Mesir yang sedang bergolak ke Jeddah menerusi Ops Piramid.

Pegawai Media Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, Mejar Marina Harun memberitahu Bernama, setakat pukul 10 pagi tadi, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui tiga pesawat C-130 berjaya memindahkan 1,808 orang, tiga pesawat MAS (1,791) dan dua pesawat Air Asia (1,134).

Ops Piramid merupakan usaha untuk membawa rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir ke Jeddah di Arab Saudi. - Bernama


No comments:

Post a Comment