16 February 2011

URGENT : Awas jerat sindiket dadah di FACEBOOK



KUALA LUMPUR 16 Feb. – Populariti laman sosial Facebook di Malaysia, dikesan telah disalah gunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk mencari gadis-gadis tempatan bagi direkrut sebagai keldai dadah ke luar negara.

Melalui laman sosial ini, sindiket menggunakan ahli-ahli di kalangan lelaki tempatan akan mencari kenalan wanita dan memikat mereka sehingga jatuh cinta.

Wanita tempatan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, golongan profesional dan ada juga di kalangan janda akan dilayan dengan baik sekali sepanjang tempoh bercinta apabila diberikan hadiah barang-barang mewah serta dibawa melancong ke luar negara.

Setelah yakin wanita terbabit mempercayai mereka, anggota sindiket akan mengambil kesempatan itu memperdayakan mangsa untuk membawa dadah ke luar negara sehingga akhirnya tertangkap dan meringkuk dalam penjara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, Facebook adalah taktik terbaru dikenal pasti digunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk merekrut rakyat Malaysia bagi dijadikan keldai dadah.

“Sebelum ini, sindiket dadah antarabangsa dari Nigeria dan Iran ini menggunakan rakyat mereka untuk memikat wanita tempatan untuk dijadikan kurier dadah.

“Apabila rakyat Malaysia tidak lagi terpedaya dengan taktik itu, sindiket beralih menggunakan pendekatan baru iaitu melantik ahli-ahli sindiket di kalangan pemuda tempatan untuk mencari mangsa wanita sebagai keldai dadah melalui Facebook,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Noor Rashid, taktik sindiket menggunakan lelaki tempatan untuk memperdayakan wanita melalui Facebook dikesan setelah polis menerima banyak laporan mengenai tangkapan rakyat Malaysia di luar negara pada setiap tahun.

Beliau berkata, sejak 2007 hingga tahun lalu sahaja, seramai 239 rakyat Malaysia ditangkap kerana kesalahan membawa dadah ke luar negara.

Daripada jumlah itu, katanya, 120 orang merupakan lelaki, manakala 119 orang adalah wanita yang berusia di bawah 40 tahun.

“Jumlah tangkapan rakyat Malaysia menyeludup dadah ke luar negara bagaimanapun didapati menurun pada setiap tahun iaitu 35 orang pada tahun lalu berbanding 54 orang (2009), 66 orang (2008) dan 84 orang (2007).

“Kebanyakan rakyat kita ditahan semasa menyeludup dadah ke Taiwan, Peru, Brazil, Thailand dan Argentina,” katanya sambil memberitahu tiada tangkapan rakyat Malaysia di luar negara dilaporkan setakat tahun ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment