12 February 2011

Valentine : Nasihat JAKIM elak sambut Hari Kekasih hanya untuk umat Islam: Muhyiddin





KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata nasihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya orang ramai menjauhi acara bertemakan sambutan Hari Kekasih, Isnin ini, hanya ditujukan untuk masyarakat Islam. 

Timbalan Perdana Menteri berharap isu ini tidak menimbulkan kekeliruan dan perasaan curiga antara kaum di negara ini kerana dari sudut Islam sambutan itu tidak sesuai diraikan oleh umat Islam.

"Nasihat itu adalah untuk memberitahu bahawa dari sudut agama Islam ia (sambutan Hari Kekasih) tidak sesuai, tetapi ia tidak bermakna kita hendak merendah-rendahkan Hari Kekasih atau tidak menghormati kaum lain," katanya selepas mengadakan tinjauan mesranya terhadap perkhidmatan awam di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata: "Ada amalan yang mungkin dianggap orang lain sesuai tetapi dalam Islam tidak sesuai kerana ada amalan dan kaitan sejarahnya itu tidak sesuai bagi masyarakat Islam. Saya harap perkara ini tidak menjadi perkara yang boleh menimbulkan perasaan curiga". 

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, semalam yang menasihatkan orang ramai khususnya yang beragama Islam supaya menjauhi sebarang acara atau majlis yang bertemakan sambutan Hari Kekasih bagi mengelakkan mereka terlibat dengan gejala maksiat. - BERNAMA 

1 comment: