08 February 2011

Krisis Mesir: Universiti Al-Madinah Tawar Tempat Kepada Pelajar Universiti Al-Azhar

Penyokong prodemokrasi terus membanjiri Dataran Tahrir di Kaherah, Selasa. Mereka bercadang untuk mengadakan protes terbesar ekoran tidak berpuas hati dengan janji-janji rejim Presiden Hosni Mubarak. - EPA


Selasa Februari 8, 2011
KUALA LUMPUR: Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) menawarkan tempat kepada pelajar-pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir untuk membolehkan mereka menyambung pengajian yang tertunda ekoran pergolakan di Mesir.
Rektor MEDIU Prof Dr Mohammad Khalifa Al-Tamimi mengemukakan surat tawaran itu kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Isnin.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam MEDIU Jamaluddin Hussain berkata dalam surat itu, Prof Dr Mohammad Khalifa menyatakan bahawa tawaran berkenaan akan merangkumi sistem pengajian secara e-pembelajaran dan sistem pengajian secara konvensional di bilik kuliah serba lengkap dengan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa MEDIU di Plaza Masalam, Shah Alam.
Kira-kira 90 peratus modul pengajian bagi bidang pengajian Islam MEDIU diambil daripada Universiti Al-Azhar dan sebahagian besar pensyarahnya berasal dari negara Timur Tengah dan Asia Barat yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan.
Pensyarah-pensyarah universiti itu juga merupakan lepasan peringkat Doktor Falsafah (PhD) Universiti Al-Azhar, Universiti Islam Madinah, Universiti Islam Jordan, universiti tempatan dan beberapa universiti terkemuka yang lain.
"Kami percaya program ini akan memberi banyak manfaat untuk rakyat Malaysia terutamanya pelajar-pelajar dari Universiti Al-Azhar yang menerima musibah daripada konflik persengketaan yang menghampiri kejadian perang saudara yang melanda Mesir," kata Prof Dr Mohammad Khalifa.
Beliau juga amat berharap agar MEDIU diberi peluang untuk menabur bakti kepada para pelajar berkenaan untuk memastikan mereka mencapai cita-cita dan seterusnya menjadi warga yang berjasa kepada agama, negara dan bangsa.- BERNAMA
Sumber: mStarOnline

No comments:

Post a Comment