10 February 2011

Ops Piramid : 1,439 lagi rakyat kita selamat tiba

PARA pelajar dan rakyat Malaysia daripada kumpulan ketiga Ops Piramid selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, semalam. - Utusan/Zaki Amiruddin


Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, penerbangan pulang kumpulan ketiga Ops Piramid itu menggunakan sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan tiga buah pesawat Saudi Arabian Airlines sumbangan kerajaan Arab Saudi.SEPANG 9 Feb. - Seramai 1,439 lagi pelajar dan rakyat Malaysia yang dikeluarkan dari Mesir selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dari Jeddah, hari ini.

Beliau berkata, masih terdapat 3,864 lagi rakyat Malaysia yang berada di Jeddah dan kesemuanya akan dibawa pulang ke tanah air selewat-lewatnya Ahad ini.

"Kita yakin proses ini akan selesai mengikut jangkaan memandangkan jumlah pelajar yang tinggal di Jeddah tidak begitu besar seperti di peringkat awal pemindahan Ops Piramid.

"Sasaran itu akan dapat dicapai sekiranya kita berjaya membawa keluar antara 1,000 hingga 1,500 pelajar sehari, ditambah pula dengan kerjasama MAS, AirAsia dan kerajaan Arab Saudi," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika menyambut ketibaan 357 pelajar dengan pesawat MH 8031 di KLIA di sini pada pukul 7.30 pagi ini.

Jumlah selebihnya tiba secara berperingkat-peringkat dengan menggunakan pesawat Saudi Arabian Airlines.
Dua hari lalu, kerajaan berjaya membawa pulang kumpulan pertama melibatkan 778 rakyat Malaysia diikuti 556 orang pada hari berikutnya.

Kohilan berkata, sehingga kini terdapat hampir 7,000 rakyat Malaysia yang sudah dibawa keluar dari beberapa bandar di Mesir ke Jeddah.

Namun begitu, katanya, bukan semuanya akan pulang ke tanah air ekoran terdapat sebahagian daripada mereka akan menuju ke destinasi lain.

"Ini kerana ada antara mereka bukan pelajar atau pekerja Malaysia yang menetap di Mesir sebaliknya sedang bercuti di negara itu semasa rusuhan berlaku.

"Mereka memilih untuk ke destinasi lain atas perbelanjaan yang ditanggung sendiri," katanya.
Sementara itu, katanya, masih terdapat hampir 2,000 pelajar yang mengambil keputusan untuk tidak pulang ke tanah air kerana mahu menamatkan pengajian yang dijangka berakhir Mac depan.

"Kerajaan bersetuju dan menghormati keputusan pelajar berkenaan, namun atas sebab keselamatan, wakil pihak Kedutaan Malaysia akan memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati para pelajar terbabit agar mendapatkan persetujuan ibu bapa sebelum membuat keputusan untuk terus berada di Mesir.

No comments:

Post a Comment