09 February 2011

Ops Piramid : Bawa pulang pelajar: MKN guna laluan Changi dan Jakarta

09/02/2011 7:36pm

JEDDAH 9 Feb. – Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggunakan strategi baru untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir iaitu dengan menggunakan penerbangan Saudi Airlines ke Singapura dan Jakarta, kata Setiausahanya, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Semalam, 150 pelajar dibawa keluar dari Jeddah menaiki pesawat Saudi Airlines dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura, katanya di sini hari ini.

"MKN menyediakan empat bas untuk membawa mereka balik dari Changi... mana yang duduk Johor diturunkan di Johor dan yang duduk Melaka turun di Melaka. Ini bagi memudahkan dan mencepatkan penghantaran mereka pulang,” katanya.
Beliau berkata, bas-bas yang disediakan oleh MKN itu akan menghantar para pelajar sehingga ke Ipoh.

Mohamed Thajudeen berkata, satu penerbangan Saudi Airlines akan bertolak dari Jeddah pada pukul 9.25 malam ini dan seramai 104 pelajar dijangka dibawa dengan penerbangan ini ke Jakarta.

Mereka dijangka tiba pada pukul 11 pagi esok dan dijadualkan dibawa pulang dengan pesawat AirAsia dari Jakarta yang dijangka bertolak pada pukul 2 petang ke Malaysia.

Beliau berkata, dianggarkan lebih 650 pelajar akan dibawa pulang ke tanah air hari ini dengan sebuah pesawat khas Malaysia Airlines dan sebuah penerbangan komersial Malaysia Airlines.

Selebihnya akan dibawa dengan dua pesawat Saudi Airlines masing-masing ke Changi dan Jakarta. – Bernama

No comments:

Post a Comment