08 February 2011

Ops Piramid : Operasi ke Jeddah dihenti

Misi kini tertumpu bawa pulang 9,000 pelajar ke tanah air 




KUALA LUMPUR: Operasi membawa rakyat Malaysia dari beberapa bandar raya utama sekitar Mesir ke Jeddah, Arab Saudi dihentikan tengah hari semalam waktu Mesir atau jam 3 petang waktu Malaysia semalam.
Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata berikutan itu baki lebih 2,000 pelajar dan mereka yang mahu pulang ke tanah air boleh berbuat demikian dengan pembiayaan sendiri.
Katanya, buat masa ini, keutamaan diberikan kepada operasi membawa pulang lebih 9,000 pelajar yang ditempatkan di Jeddah ke tanah air menerusi penerbangan komersial. 

“Kita sudah tutup operasi dari Kaherah ke Jeddah dengan membawa keluar 1,500 pelajar terakhir menjadikan jumlah semua dipindahkan ke Jeddah seramai 9,500 orang. 

“Daripada jumlah itu, 700 sudah sampai ke Kuala Lumpur dan bakinya akan dibawa pulang secara berperingkat mengambil masa lima hari dan dijangka berakhir Sabtu ini,” katanya semalam. 

Ditanya pelajar yang ditempatkan di Jeddah tetapi tidak mahu pulang, Kohilan berkata mereka boleh berbuat demikian namun kos pulang ke beberapa destinasi di Mesir perlu ditanggung sendiri. 
“Jika mereka memikirkan keadaan di Mesir sudah kembali pulih dan tidak mahu pulang ke Malaysia, tidak ada masalah. 

“Mereka boleh balik ke Mesir dengan inisiatif sendiri. Dari Jeddah ke Mesir pun tidak jauh. Namun, kebanyakan yang berada di Jeddah mahu pulang ke tanah air kerana ibu bapa hendak anak mereka balik,” katanya. 

Sumber :  Berita Harian

No comments:

Post a Comment