05 February 2011

Krisis Mesir : Pelajar hanya dibenar kembali ke Mesir selepas krisis berakhir

2011/02/05



TEMERLOH: Pelajar Malaysia hanya akan dibenarkan kembali ke Mesir bagi meneruskan pengajian mereka selepas kerajaan memastikan keadaan benar-benar pulih. 

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata perkara itu mungkin tidak dapat dilakukan dalam masa terdekat kerana keadaan di sana tidak menentu.
"Ketika ini kerajaan sedang memantau setiap masa melalui kedutaan dan pegawai sebelum menghantar semula pelajar ke sana.
"Lagipun universiti di negara terbabit telah memberi cuti panjang tiga hingga enam bulan kepada pelajar berikutan pergolakan yang sedang berlaku," katanya kepada pemberita, di sini Sabtu. 

Beliau ditemui pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Bahagian Temerloh yang menyaksikan 750 pelajar menerima sumbangan wang tunai Yayasan Pahang daripada Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin. 

Saifuddin berkata, kerajaan juga akan mendapatkan maklumat serta laporan lengkap sebelum membenarkan pelajar pulang ke Mesir. 

Malaysia adalah antara negara terawal membawa pelajar dan rakyatnya pulang setakat ini berikutan krisis politik yang sedang berlaku di negara itu. 
Sementara itu, Mohd Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains dan Inovasi Pahang, berkata kerajaan negeri telah menempatkan seorang pegawai bagi memantau 2,000 pelajar negeri itu di Mesir yang semuanya dilaporkan dalam keadaan selamat. 

Beliau berkata, sebahagian besar pelajar terbabit ditaja Yayasan Pahang bagi mengikuti pengajian dalam bidang kedoktoran dan usuluddin. 

"Ibu bapa dan keluarga tidak perlu bimbang, usaha membawa pulang mereka kini sedang dikendalikan pihak Wisma Putra," katanya. - BERNAMA 


Sumber : Berita Harian 

No comments:

Post a Comment