2011/02/03
KUALA LUMPUR: Penerbangan membawa keluar pelajar dan rakyat Malaysia dari Kaherah terus ke Kuala Lumpur berikutan pergolakan di Mesir terpaksa dipinda kepada hanya penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail.
Beliau berkata, pesawat pertama membawa rakyat Malaysia dari Kaherah yang pada mulanya dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 pagi esok itu, sebaliknya akan mendarat di Jeddah.
Shahlan berkata perubahan program pemindahan itu bertujuan membolehkan lebih ramai warga Malaysia dibawa keluar dalam tempoh lebih segera.
Pesawat sedia ada perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya agar membuat lebih banyak penerbangan ulang-alik Kaherah-Jeddah.
"Semua pesawat yang ada daripada Penerbangan Malaysia (MAS), AirAsia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) akan beroperasi tanpa henti berulang-alik antara Jeddah dan Kaherah.
"Kita mahu seramai mungkin rakyat kita berjaya dibawa keluar dari Mesir kerana keadaan semakin terdesak," katanya.
Shahlan sebelum ini dilaporkan berkata penerbangan pertama membawa 309 orang termasuk pelajar serta mereka yang uzur dan wanita mengandung akan berlepas dari Kaherah, pada 1 tengah hari ini waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia) dan dijadualkan tiba di KLIA pada 5 pagi esok.
Shahlan juga memaklumkan terdapat dua penerbangan yang membawa rakyat Malaysia ke Jeddah hari ini dari Kaherah manakala esok 12 penerbangan membabitkan enam pesawat.
Katanya, selain pesawat, kapal milik Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), KD Bunga Mas 5, juga akan menyertai operasi pada Sabtu membawa keluar baki warga Malaysia ke Jeddah.
Shahlan turut merayu kepada semua rakyat Malaysia dan pelajar yang berada di Mesir supaya sedar bawa mereka semuanya terperangkap dan hanya boleh keluar melalui langkah yang dirancang kerajaan.
"Jadi, tak perlu menimbulkan sebarang provokasi di waktu ini kerana ia hanya akan mengakibatkan kekecohan yang tidak diingini dalam kalangan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.
"Kerajaan berjanji akan membawa semua pelajar dan rakyat keluar tidak kira dari negeri mana asalkan anda rakyat Malaysia, diharapkan semua bersabar," katanya.
Shahlan kini berada di Kaherah untuk memantau keadaan di negara yang bergolak itu atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau yang menyertai delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay, itu sentiasa memantau keadaan. - BERNAMA
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment