10 February 2011

Krisis Mesir : Kerajaan diminta taja separuh harga tiket kembali ke Mesir


2011/02/10

SEPANG: Ibu bapa beberapa pelajar Malaysia di Mesir meminta kerajaan memberi pertimbangan bagi menaja sekurang-kurangnya separuh harga tiket penerbangan untuk kembali ke negara itu apabila keadaan semakin pulih. 

Seorang penjawat awam, Husin Ibrahim, 55, berkata tidak semua ibu bapa mampu membeli tiket penerbangan untuk menghantar anak mereka kembali ke Mesir.

"Mungkin hanya lima peratus sahaja yang berkemampuan untuk membelikan tiket untuk anak, walaupun orang lazimnya berkata kalau yang belajar di luar negara, ibu bapanya mesti hidup senang.
"Tetapi kebanyakannya susah. Seelok-eloknya, kerajaan paling tidak bantu bayar separuh daripada harga tiket itu kerana harganya agak mahal," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menyambut kepulangan anaknya, Mohd Abdul Azim hari ini. 

Mohd Abdul Azim, 20, pelajar tahun pertama jurusan Ekonomi Islam Universiti Al-Azhar, adalah antara 567 pelajar dan rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air menerusi Ops Piramid dengan penerbangan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines. 

Husin, dari Kelantan, turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana membantu mengeluarkan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir tanpa mengira fahaman politik. 

Sementara itu, Saridah Suman, ibu pelajar tahun tiga jurusan perubatan Universiti Iskandariah iaitu Mohd Yady Abdullah, berkongsi pandangan sama. 
"Kalau boleh, kerajaan tanggung semua. Ramai ibu bapa yang susah. Jika tolak harga tiket daripada wang biasiswa, bimbang nanti anak tidak cukup perbelanjaan," kata beliau yang terpaksa membelanjakan RM70 sehari membeli kad prabayar untuk menghubungi Mohd Yadi dan pihak lain, termasuk kedutaan serta Wisma Putra, bagi mengetahui tahap keselamatan anaknya. 

Pelajar tahun pertama jurusan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mohd Hafiz Ahmad Rafi, 20, pula berkata bebanan membeli tiket begitu dirasai ibu bapa berpendapatan sederhana atau rendah, yang mempunyai beberapa anak menuntut di Mesir. 

"Kakak saya Nur Hasanah turut belajar di Mesir. Jadi kami minta kerajaan bantu keluarga yang berpendapatan rendah untuk bayar separuh harga tiket. Jika seorang RM1,800 sehala, kalau dua orang sudah RM3,600," katanya yang berasal dari Kedah. 

Dalam perkembangan berkaitan, Nur Hasanah, 23, pelajar jurusan Syariah Islamiyah berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila pertama kali menaiki pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia, ketika dipindahkan dari Kaherah ke Jeddah. 

"Bukan semua orang boleh naik Charlie, seperti kata (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Jamil Khir Baharom kepada kami ketika itu. Walaupun terpaksa menunggu selama 17 jam sebelum dipindahkan ke Jeddah dan duduk di lantai pesawat, kami tidak kisah," katanya sambil tersenyum. 

Roisah Mansor, 22, berkata mereka turut dibekalkan makanan semasa perjalanan tiga jam dari Kaherah ke Jeddah. 

"Kami perlu duduk rapat-rapat dalam pesawat Charlie supaya lebih ramai pelajar dapat dipindahkan," katanya yang berkongsi pengalaman pertama menaiki pesawat TUDM itu. 

Sehingga semalam, Ops Piramid mengeluarkan seramai 7,209 rakyat Malaysia dari beberapa bandar raya di Mesir ke Jeddah, dan 1,439 orang telah dibawa pulang ke tanah air. 

Kerajaan Arab Saudi turut menyediakan dua pesawat Boeing 747 milik Saudi Airlines bagi membantu mempercepatkan proses membawa pulang rakyat Malaysia. - BERNAMA 



Apa pendapat anda???
Sokong atau bantah???
Sila komen di bawah....

No comments:

Post a Comment