Pages

Showing posts with label Situasi Terkini. Show all posts
Showing posts with label Situasi Terkini. Show all posts

10 February 2011

Krisis Mesir : Kerajaan diminta taja separuh harga tiket kembali ke Mesir


2011/02/10

SEPANG: Ibu bapa beberapa pelajar Malaysia di Mesir meminta kerajaan memberi pertimbangan bagi menaja sekurang-kurangnya separuh harga tiket penerbangan untuk kembali ke negara itu apabila keadaan semakin pulih. 

Seorang penjawat awam, Husin Ibrahim, 55, berkata tidak semua ibu bapa mampu membeli tiket penerbangan untuk menghantar anak mereka kembali ke Mesir.

"Mungkin hanya lima peratus sahaja yang berkemampuan untuk membelikan tiket untuk anak, walaupun orang lazimnya berkata kalau yang belajar di luar negara, ibu bapanya mesti hidup senang.
"Tetapi kebanyakannya susah. Seelok-eloknya, kerajaan paling tidak bantu bayar separuh daripada harga tiket itu kerana harganya agak mahal," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menyambut kepulangan anaknya, Mohd Abdul Azim hari ini. 

Mohd Abdul Azim, 20, pelajar tahun pertama jurusan Ekonomi Islam Universiti Al-Azhar, adalah antara 567 pelajar dan rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air menerusi Ops Piramid dengan penerbangan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines. 

Husin, dari Kelantan, turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana membantu mengeluarkan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir tanpa mengira fahaman politik. 

Sementara itu, Saridah Suman, ibu pelajar tahun tiga jurusan perubatan Universiti Iskandariah iaitu Mohd Yady Abdullah, berkongsi pandangan sama. 
"Kalau boleh, kerajaan tanggung semua. Ramai ibu bapa yang susah. Jika tolak harga tiket daripada wang biasiswa, bimbang nanti anak tidak cukup perbelanjaan," kata beliau yang terpaksa membelanjakan RM70 sehari membeli kad prabayar untuk menghubungi Mohd Yadi dan pihak lain, termasuk kedutaan serta Wisma Putra, bagi mengetahui tahap keselamatan anaknya. 

Pelajar tahun pertama jurusan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mohd Hafiz Ahmad Rafi, 20, pula berkata bebanan membeli tiket begitu dirasai ibu bapa berpendapatan sederhana atau rendah, yang mempunyai beberapa anak menuntut di Mesir. 

"Kakak saya Nur Hasanah turut belajar di Mesir. Jadi kami minta kerajaan bantu keluarga yang berpendapatan rendah untuk bayar separuh harga tiket. Jika seorang RM1,800 sehala, kalau dua orang sudah RM3,600," katanya yang berasal dari Kedah. 

Dalam perkembangan berkaitan, Nur Hasanah, 23, pelajar jurusan Syariah Islamiyah berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila pertama kali menaiki pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia, ketika dipindahkan dari Kaherah ke Jeddah. 

"Bukan semua orang boleh naik Charlie, seperti kata (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Jamil Khir Baharom kepada kami ketika itu. Walaupun terpaksa menunggu selama 17 jam sebelum dipindahkan ke Jeddah dan duduk di lantai pesawat, kami tidak kisah," katanya sambil tersenyum. 

Roisah Mansor, 22, berkata mereka turut dibekalkan makanan semasa perjalanan tiga jam dari Kaherah ke Jeddah. 

"Kami perlu duduk rapat-rapat dalam pesawat Charlie supaya lebih ramai pelajar dapat dipindahkan," katanya yang berkongsi pengalaman pertama menaiki pesawat TUDM itu. 

Sehingga semalam, Ops Piramid mengeluarkan seramai 7,209 rakyat Malaysia dari beberapa bandar raya di Mesir ke Jeddah, dan 1,439 orang telah dibawa pulang ke tanah air. 

Kerajaan Arab Saudi turut menyediakan dua pesawat Boeing 747 milik Saudi Airlines bagi membantu mempercepatkan proses membawa pulang rakyat Malaysia. - BERNAMA 



Apa pendapat anda???
Sokong atau bantah???
Sila komen di bawah....

Krisis Mesir : Mesir, AS bertikam lidah ketika ketegangan memuncak





2011/02/10


WASHINGTON: Menteri Luar Mesir, Ahmed Abul Gheit, menuduh Amerika Syarikat cuba memaksakan kehendaknya ke atas sekutunya ketika Rumah Putih memberi amaran bahawa Kaherah gagal mencapai "tahap minimum" pembaharuan.


Abul Gheit berkata demikian dalam temubual bersama stesen televisyen PBS selepas Washington mengkritik Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman, yang bertanggungjawab mengadakan dialog dengan kumpulan pembangkang.
Beliau membidas apa yang disifatkannya sebagai retorik AS terhadap krisis yang dicetus penunjuk perasaan di Mesir itu.
“Apabila anda berbicara mengenai 'segera', 'serta merta', 'sekarang', seolah-olah anda memaksakan kehendak anda terhadap negara hebat seperti Mesir, negara sahabat yang sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan AS.


“Mesir dan Presiden Mesir, kerajaan Mesir sudah memulakannya," katanya merujuk pelan untuk rundingan peralihan kuasa kerajaan Hosni Mubarak.


Bagaimanapun, Washington menegaskan penunjuk perasaan yang berhimpun di Medan Tahrir akan menentukan masa depan Mesir, bukannya AS.


“Kami tidak cuba menentukan apa-apa," kata jurucakap Jabatan Negara, Philip Crowley. - AFP

05 February 2011

Krisis Mesir: Kenyataan Terkini Wisma Putra 5 Feb 2011



SITUASI TERKINI DI MESIR  
5 FEBRUARI 2011

Situasi terkini di Mesir masih tegang berikutan keganasan dan pertempuran yang tercetus di antara penyokong pro – Presiden Hosni Mubarak dengan penyokong anti-kerajaan terutamanya di bandar raya Kaherah dan Iskandariah di dalam protes yang dinamakan “Day of Departure”.  

Perintah berkurung yang telah dikenakan oleh Kerajaan Mesir di semua bandaraya utama di Kaherah telah dilonggarkan kepada pukul 6.00 petang sehingga 8.00 pagi.

Gerakan pemindahan (evacuation) sedang dilaksanakan.

Semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir adalah dilaporkan selamat.

Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang telah di evakuasi sehingga jam 1.30 tengah hari, 5 Februari 2011 adalah 2,336 orang.

Sejumlah 2,000 orang dijangka dapat di evakuasi pada penghujung hari ini, 5 Februari 2011.

Dijangkakan seramai 11,000 orang rakyat Malaysia akan dipindahkan dari Mesir menjelang Isnin, 7 Februari 2011.

Kesemua rakyat Malaysia telah ditempatkan di Kompleks Tabung Haji di Madinatul Al Hujjaj, Jeddahyang boleh menempatkan seramai 4,000 orang.

Terdapat seramai 161 pelajar Malaysia di Mesir, yang sedang bercuti di luar negara telah terkandas, masing-masing berada di Damsyik, Syria; Istanbul, Turki; Dublin, Ireland; London, Britain dan Paris, Perancis. Usaha sedang dilakukan dengan kerjasama MKN untuk menguruskan penghantaran pelajar-pelajar ini pulang ke Jeddah atau balik ke Malaysia.



Wisma Putra, PUTRAJAYA
5 Februari 2011 

Link-link Untuk Semak Nama Warga Malaysia yg Telah Selamat Di Bawa Keluar