Pages

03 February 2011

Krisis Mesir: Pesawat pertama bawa rakyat Malaysia dari Mesir tiba di KLIA awal pagi esok


Pesawat AirAsia A340 

03/02/2011 12:05pm

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Pesawat pertama dalam misi membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5 pagi esok.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail berkata, penerbangan pertama membawa 309 orang termasuk pelajar serta mereka yang uzur dan wanita mengandung itu akan berlepas dari Kaherah, pada 1 tengah hari ini waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia).

Beliau berkata, satu lagi penerbangan akan turut berlepas pada waktu yang sama dan akan membawa 345 orang pelajar Malaysia namun pesawat itu akan mendarat di Jeddah sebelum berpatah balik ke Kaherah untuk menyambung misi.

Shahlan kini berada di Kaherah untuk memantau keadaan di negara yang bergolak itu atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, esok kerjasama antara Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Air Asia dan Sistem Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) akan melakukan 12 kali penerbangan membawa pelajar dan rakyat Malaysia keluar dari Kaherah.

"Tiga pesawat iaitu dua Air Asia dan satu pesawat MAS akan terbang terus ke KLIA. Bagaimanapun tiga pesawat Charlie C-130 milik TUDM akan melakukan penerbangan ulang alik dari Kaherah ke Jeddah di Arab Saudi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Shahlan berkata, operasi membawa keluar melalui jalan udara melibatkan pemindahan kira-kira 1,000 orang rakyat Malaysia.

Beliau berkata Sabtu ini pula, sebuah kapal Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) KD Bunga Mas 5 akan membawa keluar kira-kira 500 orang pelajar dan rakyat Malaysia dan dijangka terus belayar ke Pelabuhan Klang.

Shahlan berkata, keseluruhan operasi melibatkan 5,000 orang rakyat Malaysia yang terperangkap di Mesir.

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara sedang melakukan yang terbaik untuk membawa keluar semua 11,000 rakyat Malaysia di Mesir.

"Kita gerakkan pelajar dari semua bandar seperti Kaherah, Iskandariah, Mansoura, Tartar dan Zagazig serta semua bandar-bandar kecil yang lain jadi ia memerlukan perancangan yang teliti.

"Kita berharap semuanya akan berjalan lancar dan operasi pemindahan seterusnya akan dirancang sebaik selesai perancangan pertama misi membawa pulang,” katanya. - Bernama



Boeing 747-400 milik Malaysia Airlines


UPDATE !!!

No comments:

Post a Comment