Selepas Krisis di Mesir nampaknya rakyat2 negara jiran di rantau tersebut telah mengambilkesempatan untk turut mengikut langkah rakyat Mesir..Di bawah merupakan berita mengenai situasi semasa di Timur Tengah.
Krisis Timur Tengah: Ibu bapa pelajar diminta bertenang
ISTANBUL 20 Feb — Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman meminta kerjasama semua pihak terutama ibu bapa dan keluarga rakyat Malaysia yang mempunyai anak atau keluarga di beberapa negara Timur Tengah dan Afrika Utara yang sedang mengalami protes dan demonstrasi supaya bertenang dan bersabar.
Beliau berkata, walaupun keadaan keselamatan yang dipaparkan di kaca TV dan internet terutama oleh Al Jazeera, BBC dan CNN adalah amat membimbangkan dan seolah-olah berlaku secara meluas, pada hakikatnya keadaan masih terkawal dan demonstrasi itu hanya tertumpu di tempat tertentu.
Anifah berkata, demikian kepada wartawan Malaysia di sini sebagai mengulas kejadian rusuhan yang masih berterusan di beberapa negara Timur Tengah dan Afrika Utara terutama di Algeria, Bahrain, Libya dan Yemen.Menteri Luar itu berada di sini untuk mengiringi lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Turki mulai esok hingga Rabu ini.
Anifah berkata, Kementerian Luar sentiasa memantau perkembangan yang berlaku di negara-negara berkenaan dan sehingga kini, semua Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, Manama, Tripoli dan Sana”a telah melaporkan bahawa semua rakyat Malaysia di sana berada dalam keadaan selamat dan tidak terlibat dalam rusuhan dan tunjuk perasaan yang berlaku. — Bernama
Korban sulung protes Yemen
SANAA 19 Feb. - Seorang penunjuk perasaan antirejim ditembak mati sementara lima yang lain berada dalam keadaan kritikal terkena tembakan dalam satu pertempuran antara penunjuk perasaan dengan penyokong Presiden Ali Abdullah Saleh di Sanaa, hari ini.
Menurut saksi, mangsa ditembak di leher dan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital berhampiran Universiti Sanaa.
Penunjuk perasaan mula berarak awal pagi ini dari Universiti Sanaa ke Kementerian Kehakiman sambil melaungkan 'rakyat mahu rejim tumbang' sehingga mereka bertembung dengan polis antirusuhan.
Pasukan keselamatan yang dibantu anggota berpakaian preman dilapor melepaskan tembakan dan melontar batu ke arah penunjuk perasaan.
Kematian itu merupakan yang pertama di Sanaa selepas pertempuran sama sejak seminggu lalu.
Di Libya, pasukan keselamatan didakwa menembak mati 35 penunjuk perasaan di timur Bengazi malam tadi, sekali gus menjadikan angka korban meningkat kepada 84 hari ini sepanjang tiga hari protes antikerajaan, lapor Pemerhati Hak Kemanusian (HRW).
Menurut kumpulan tersebut, kematian terbaru di Benghazi itu berlaku apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan selepas satu upacara pengebumian mangsa keganasan sebelum ini.
Sementara itu di Bahrain, kumpulan pembangkang utama Syiah, al-Wefaq hari ini mendesak pembubaran kerajaan dan pengunduran tentera dari jalan-jalan sebelum pihaknya bersetuju mengadakan dialog dengan Putera Mahkota, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa.
Pembangkang menyifatkan, tawaran dialog yang dibuat Raja Hamad lewat malam tadi sebagai tidak serius dan tidak memenuhi keperluan buat masa sekarang.
Di Oman, sebanyak 300 penduduk melancarkan demonstrasi secara aman di Ruwi, daerah komersial di ibu negara, Muscat, bagi mendesak perubahan politik dan peningkatan gaji.
Penunjuk perasaan berkumpul dan menjerit 'kami mahu demokrasi' dan 'lebih banyak gaji dan kerja' selepas solat Jumaat.
Di Iran, pihak pembangkang menyeru rakyat berhimpun di Teheran dan bandar lain esok pada hari ketujuh bantahan sejak kematian dua penunjuk perasaan pada permulaan demonstrasi mendesak kerajaan dibubarkan.
Laman web pembangkang, kaleme.com menyatakan demonstrasi itu merupakan perjuangan untuk menentang diktator di Iran.
Di Jordan, sekumpulan lelaki bersenjatakan baton bertempur dengan penunjuk perasaan antirejim di ibu negara, Amman semalam mengakibatkan lapan orang cedera, dalam kejadian pertama sejak demonstrasi bermula di negara itu, lapor saksi.
No comments:
Post a Comment