Pages

10 February 2011

Movie : HAQ Buat Penonton Keliru


Pertembungan kuasa baik dan jahat dalam Haq.
ADEGAN “panas” di atas katil seperti yang diperkatakan sebelum ini dalam filem Haq pasti membuatkan hati tertanya-tanya tentang kehebatan filem terbitan KasehDia Pictures itu.
Namun, setelah filem itu menemui penonton pada 27 Januari lalu, ramai yang kecewa dengan hasil yang dipersembahkan.
Memang Haq berjaya menarik perhatian penonton dengan kehebatan visual dan tenik janaan komputer (CGI) serta sinematografi yang ditonjolkan.
Bagaimanapun, terlalu banyak persoalan yang timbul selepas menyaksikan filem yang menampilkan lakonan Zul Huzaimy (Haq), Ady Putra (Bad) dan Nanu Baharuddin (Zahra) itu kerana keliru dengan jalan cerita yang ditampilkan.
Klimaks penceritaan yang ingin disampaikan dalam filem ini juga agak perlahan dan banyak ruang yang perlu diperbetulkan dari segi aspek plot, perkembangan babak, adegan aksi serta penggunaan transisi dari babak ke babak.
Dalam filem tersebut, pengulangan visual simbolik ikan-ikan di akuarium sebanyak empat kali untuk menampakkan transisi babak ternyata menjejaskan ‘mood’ penonton dan apakah relevannya simbolik itu dipaparkan?
Namun dari sudut teknikal pula, ternyata KasehDia mempunyai krew produksi yang hebat kerana teknik kerja sudut kamera serta penyuntingan mempunyai nilai artistik yang tersendiri sekali gus menampakkan filem ini kelihatan hebat.
Zulhuzaimy muncul dengan watak baik kali ini sebagai Haq.
Sepanjang 90 minit durasi tayangannya, paparan cerita untuk menyuntik elemen keislaman ke dalam filem tersebut gagal.
Apa yang lebih membuatkan penonton berasa kecewa ialah apabila terlalu banyak penonjolan “penaja” di setiap babak agak keterlaluan.
Pengarahnya, Jumaatun Azmi dan CL Hor, sepatutnya perlu memasukkan hanya sedikit paparan iklan dalam filem itu sebagai tanda terima kasih tetapi janganlah menampakkan ia seperti sebuah produk iklan dan bukannya sebuah filem cereka.
Haq sebuah filem yang membuatkan penonton keliru dengan jalan cerita yang hendak ditampilkan. Kuasa sakti yang diperoleh oleh seorang kanak-kanak bernama Haq tidak ditonjolkan dengan jelas dari mana datangnya kuasa itu.Malah, Bad, yang cemburukan kehebatan kuasa pada Haq turut memiliki kuasa serupa tetapi menggunakan cara yang jahat.
Persoalannya, kuasa sakti dipelajari Bad itu tidak juga ditonjolkan dengan berkesan.Malah, Bad sewaktu kecilnya telah menghilangkan diri tiba-tiba diperlihatkan muncul di Paris dengan memiliki kuasa yang luar biasa.
Apakah relevan adegan itu yang hendak dipertontonkan kepada penonton dengan mengetepikan persoalan kuasa sakti yang dimiliki oleh mereka berdua?
Haq, sebuah filem yang gagal mencapai piawaian bagi menarik penonton ke panggung kerana ia hanya akan membuatkan penonton akan “pecah kepala” memikirkan persoalan dari babak ke babak.
Menurut Jumaatun, mereka telah menyunting filem tersebut daripada 150 minit kepada 90 minit. Namun, apabila menyaksikan filem itu, ada juga beberapa babak yang rasanya tidak perlu ditonjolkan.
Ady Putra menggalas watak antagonis sebagai Bad.
Adegan-adegan tidak logik juga banyak ditonjolkan seperti ketika Haq yang mahu bergegas pulang dari sebuah ladang untuk menemui ayahnya yang sedang nazak.
Dengan sebuah helikopter, Haq turun di ladang berkenaan untuk menaiki kenderaan yang ditinggalkan di ladang tersebut.
Sepatutnya pengarah boleh menggunakan helikopter itu sebagai simbolik kekayaan keluarga Haq dengan menerbangkannya terus ke rumah tanpa perlu “menukar kenderaan” di sebuah ladang.
Sepatutnya dengan kuasa sakti yang hebat, Haq boleh pergi ke mana sahaja dengan menggunakan kuasa saktinya itu.
Kuasa luar biasa yang dimiliki Haq tidak ditekankan dengan betul. Apakah kehebatan kuasa tersebut terhadap diri lelaki itu dan juga kepentingannya untuk masyarakat?
Ia tidak dipaparkan dengan berkesan sebaliknya kuasa itu digunakan untuk berlawan dengan Bad yang memiliki kuasa jahat tanpa memaparkan babak aksi yang benar-benar teruji.
Bagaimanapun, dari aspek lakonan, ketiga-tiga pelakon itu mampu membawakan watak masing-masing dengan hebat. Cuma, agak sedih apabila watak Aina yang dibawakan oleh Raja Farah seperti tidak berfungsi walaupun lakonannya boleh dikatakan bagus.
Aktres berpengalaman Nanu Baharudin membuat kemunculan semula dalam filem.
Walau bagaimanapun filem Haq ada istimewanya kerana memiliki sinematografi yang menarik.
Bagaimanapun menurut Jumaatun, segala persoalan dan kelemahan filem ini akan terjawab dengan penghasilan triloginya iaitu Haq 2, yang akan dihasilkan pada tahun ini.
Filem ini mengisahkan seorang anak kampung, Shamsul Haq, memiliki anugerah kuasa magis di mana dia mampu mengawal dan menggerakkan objek di sekelilingnya.
Pendirian Haq yang enggan membangga diri dengan kebolehan yang dimiliki diuji oleh abang angkatnya, Badrul Hisham.
Bad cemburu dengan kebolehan Haq dan mahukan kuasa itu diturunkan kepadanya juga. Akibat cemburu yang keterlaluan, Bad meninggalkan keluarganya untuk mempelajari ilmu hitam.

No comments:

Post a Comment