Mesir terus bergolak
KAHERAH 3 Feb. – Keadaan di Mesir semakin meruncing dengan lima orang dilaporkan terbunuh, apabila penyokong Presiden Mesir, Hosni Mubarak melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan di Dataran Tahrir awal hari ini.
Tunjuk perasaan aman di negara ini sejak beberapa hari lalu bertukar ganas, sejak semalam apabila kira-kira 3,000 penyokong Mubarak yang dipercayai terdiri daripada polis berpakaian biasa menggempur penunjuk perasaan anti-kerajaan di Dataran Tahrir dan di beberapa bandar lain di Mesir.
Jumlah penyokong Mubarak ada yang menyatakan hampir 20,000 orang menaiki kuda dan unta bertindak memukul penunjuk perasaan anti-kerajaan dengan kayu dan besi dan sebahagian lagi melempar bom api ke arah penunjuk perasaan dari atas bangunan di Dataran Tahrir menyebabkan dua terkorban dan ramai yang lain cedera.
Angka korban terbaru hari ini akibat pertempuran yang menggegarkan tengah Kaherah dalam tempoh 24 jam lalu kini meningkat kepada tujuh orang dan sekurang-kurangnya 305 orang terbunuh sejak protes tercetus 25 Januari lalu dengan hampir 4,000 lagi cedera. Kejadian dilaporkan berlaku awal pagi apabila penyokong Mubarak dipercayai melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan anti-kerajaan bagi menimbulkan ketakutan di kalangan penunjuk perasaan.
“Kesemua mereka terbunuh akibat tembakan termasuk seorang yang ditembak di kepala,” kata Dr. Mohammed Ismail di sebuah klinik sementara di Dataran Abdulmenem Riad, bersebelahan Dataran Tahrir.
Seorang lagi pakar perubatan yang merawat mereka yang cedera dalam pertempuran, Dr. Amr Bahaa sebelum itu melaporkan beliau menerima ramai penunjuk perasaan yang terkena tembakan.
“Kebanyakan mangsa tiba dalam tempoh tiga jam lalu, ramai dengan luka terkena tembakan,” katanya awal pagi ini, dengan menganggarkan jumlah yang cedera sejak semalam melebihi 1,000 orang.
Saksi berkata, ramai penunjuk perasaan yang cedera akibat tembakan dari Jambatan Oktober, di mana penyokong Presiden Hosni Mubarak berhimpun.
Menteri Kesihatan, Ahmed Hosni Farid berkata, tiga orang terbunuh dan 639 lagi cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan yang menyokong dan menentang Mubarak di tengah Kaherah.
Pertempuran itu meletus apabila penyokong Mubarak menggempur Dataran Tahrir petang semalam dipercayai dalam usaha untuk menamatkan protes yang menuntut peletakan jawatan Presiden itu.
Bunyi tembakan kedengaran dari semasa ke semasa mulai sekitar 4 pagi ini (10 pagi waktu Malaysia) dan berlarutan selama dua jam, manakala beberapa kereta kebal tentera yang ditempatkan di dataran tersebut kelihatan beralih dari kedudukan masing-masing tanpa meninggalkan kawasan itu.
“Pertempuran bermula pada 4 pagi. Anggota polis berpakaian awam melepaskan tembakan dari Jambatan Oktober,” kata seorang saksi di hospital Kasr El-Aini di mana banyak ambulans tiba. – Agensi
Mesir cuba redakan tunjuk perasaan
04/02/2011 3:38am
KAHERAH 4 Feb. – Kerajaan Mesir semalam mengumumkan beberapa langkah untuk meredakan pergolakan di negara ini ketika penyokong pro-Mubarak dan anti kerajaan bertempur untuk menguasai Dataran Tahrir dan menolak tawaran berunding.
Pertempuran antara dua kumpulan itu dilaporkan berlarutan untuk hari yang kedua semalam, dengan seorang rakyat asing dipukul sehingga mati di Dataran Tahrir dan sebuah gudang membeli-belah dibakar di Kaherah.
Naib Presiden Omar Suleiman dalam ucapan panjangnya di televisyen negara menggesa penunjuk perasaan meninggalkan Dataran Tahrir dan menyifatkan tuntutan mereka yang mahukan Presiden Hosni Mubarak berundur sebagai ‘mengundang huru-hara’ dan menyatakan permintaan mereka telah ditunaikan.
Beliau juga menawarkan untuk berunding dengan kumpulan penentang terutamanya pergerakan Ikhwan Muslimin.
Suleiman dalam pada itu turut menolak sebarang campur tangan pihak asing berhubung hal ehwal dalaman Mesir dengan menganggapnya sebagai ‘tidak boleh diterima’.
Menurut Kementerian Kesihatan, lima orang terbunuh dan 836 lagi cedera, sementara AFP meletakkan angka korban seramai sembilan orang, termasuk rakyat itu, sejak pertempuran dua kumpulan itu tercetus kelmarin. – AFP
Tentera bina zon penampan
KAHERAH 3 Feb. - Tentera Mesir memisahkan penyokong dan penentang Presiden Hosni Mubarak di tengah ibu negara ini hari ini, dengan mengerahkan askar infantri bagi mewujudkan zon penampan dalam usaha menghentikan keganasan antara kedua-dua kumpulan.
Itulah kali pertama tentera dilihat bertindak tegas menghentikan keganasan yang setakat ini telah meragut tujuh nyawa dan mencederakan 836 lagi dalam tempoh 24 jam lalu.
Wartawan di Dataran Tahrir berkata, dua kem bertentangan itu dipisahkan dengan jarak kira-kira 80 meter.
Satu delegasi pegawai tinggi tentera diketuai oleh Jeneral Hassan al-Rouwainy memeriksa dataran itu dan bercakap dengan penganjur protes anti-Mubarak.
Mereka segera dikerumuni penunjuk perasaan yang meminta tentera melindungi mereka sambil melaungkan slogan: "Rakyat dan tentera berganding bahu" dan "Kami tidak akan berganjak".
Selepas kira-kira 15 minit, delegasi itu kembali ke satu kedudukan tentera dekat Muzium Mesir di pinggir dataran tersebut.
Sekurang-kurangnya 60 askar ditempatkan di zon penampan, berdiri dalam barisan menghadapi kedua-dua kem. - Reuters
Kerajaan cetus keganasan - White House
WASHINGTON 3 Feb. - White House semalam membangkitkan kemungkinan kerajaan Mesir mencetuskan keganasan yang sedang memuncak di Kaherah semalam apabila puak yang menyokong Presiden Hosni Mubarak melakukan pertempuran.
Jurucakap White House, Robert Gibbs juga mengulangi gesaan Presiden Barack Obama supaya peralihan kuasa yang teratur dimulakan 'sekarang'.
"Sudah tentulah jika keganasan itu dicetuskan oleh kerajaan, ia perlu dihentikan segera," kata Gibbs.
Pentadbiran Obama turut menghubungi ketua tentera Mesir, untuk menekankan keperluan ketenteraman dipulihkan di Kaherah sambil memuji peranan utama yang boleh dimainkan oleh tentera dalam menyelesaikan krisis itu.
Gibbs tidak menggesa Mubarak meletakkan jawatan dengan segera tetapi katanya, peralihan kuasa mesti bermula serta-merta.
Ketika ditanya sama ada White House boleh menerima Mubarak meneruskan perkhidmatannya sehingga September ini, Gibbs berkata, beliau enggan membincangkan butir perbualan Obama dengan Presiden Mesir itu.
Namun, Senator John McCain yang menemui Obama di White House berkata, sudah tiba masanya untuk Mubarak berundur.
"Situasi yang semakin buruk di Mesir mendorong saya membuat kesimpulan Presiden Mubarak perlu berundur dan melepaskan kuasa," kata McCain, anggota kanan Parti Republikan dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata di Senat, dalam satu kenyataan. - Reuters
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment