Pages

Showing posts with label Pelan Tindakan Evakuasi. Show all posts
Showing posts with label Pelan Tindakan Evakuasi. Show all posts

13 February 2011

Ops Piramid : Senarai Nama Terkini

PENDUDUK Mesir memeluk pegawai tentera meraikan kegembiraan di Dataran Tahrir, Cairo, hari ini selepas Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan, malam semalam. Beribu-ribu penduduk Gaza meraikan keluar beramai-ramai memenuhi jalan raya mengagihkan manisan, membakar bunga api dan melepaskan tembakan sebagai tanda sokongan. - Foto AFP


Senarai Nama bg 14 Februari 2011

12 February 2011

Krisis Mesir: Update Dari Akhbar



Kedutaan Malaysia terus pantau keadaan di Mesir

12/02/2011 7:23pm

KUALA LUMPUR 12 Feb — Kedutaan Malaysia di Kaherah akan terus memantau keadaan di Mesir biarpun Presiden Hosni Mubarak telah mengumumkan untuk meletak jawatan semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata sehingga hari ini seramai 1,584 rakyat Malaysia masih menunggu untuk dibawa pulang ke tanah air dari Jeddah.

Kementerian Luar memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir berada dalam keadaan selamat dan menjangkakan proses membawa pulang kumpulan terakhir seramai 574 orang akan berakhir Isnin depan. — Bernama

Tangguh dulu pulang - Anifah Aman

12/02/2011 6:30pm

MEMBAKUT 12 Feb — Rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir dinasihatkan supaya tidak pulang ke Malaysia buat sementara waktu kerana keadaan di negara bergolak itu dipercayai akan beransur pulih berikutan peletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak malam tadi.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata kementeriannya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, akan sentiasa memantau keadaan di negara itu.

"Kita akan melihat dulu situasi sekarang sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada pemberita semasa lawatannya ke beberapa kampung yang terjejas dengan banjir di sini hari ini.

Mubarak akhirnya tunduk kepada revolusi rakyat Mesir yang membantah pemerintahannya sejak 30 tahun dan mengumumkan peletakan jawatannya melalui Naib Presiden Omar Suleiman yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen kira-kira tengah malam waktu Malaysia malam tadi.

Demonstrasi jalanan bagi membantah pemerintahan Mubarak diadakan di bandar-bandar besar di Mesir sejak 25 Jan lepas. — Bernama

Ops Piramid : 225 rakyat Malaysia masih berada di Mesir


2011/02/11

KUALA LUMPUR: Bilangan rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir yang bergolak berikutan tunjuk perasaan rakyat membantah pemerintahan Presiden Hosni Mubarak adalah seramai 225 orang. 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata daripada angka yang berdaftar dengan kedutaan, seramai 16 orang akan pulang ke Malaysia.
"Kedutaan Malaysia di Kaherah akan menyediakan keperluan sewajarnya bagi membantu penuntut," katanya dalam satu kenyataan Wisma Putra hari ini.
Sehingga hari ini, beliau berkata jumlah rakyat Malaysia yang berjaya dipindahkan keluar dari Mesir ke Jeddah berjumlah 7,727 dan 6,143 orang telah selamat kembali ke Kuala Lumpur. 

"Sejumlah 1,584 rakyat Malaysia kini sedang menunggu penerbangan pulang ke tanah air di Kompleks Tabung Haji di Jeddah," katanya. 

Anifah berkata, seramai 1,010 rakyat Malaysia akan terbang pulang ke tanah air dari Jeddah ke Kuala Lumpur esok menggunakan penerbangan sewa khas MAS dan penerbangan komersil lain. 

"Sekumpulan 574 orang pula akan kembali ke Malaysia sehari kemudian," katanya. - BERNAMA PNW LES HS 




11 February 2011

Ops Piramid : Seramai 4,281 rakyat Malaysia di Mesir sudah kembali



11/02/2011 12:17pm


KUALA LUMPUR 11 Feb. – Sehingga ini seramai 4,281 rakyat Malaysia telah berjaya dibawa pulang dari Mesir, termasuk 451 orang yang tiba di KLIA dengan penerbangan Malaysia Airlines MH 8031 pada 2.20 pagi tadi.


Seramai 268 warga Malaysia dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura dengan menaiki penerbangan Saudi Airlines SV 838 pada pukul 3.30 petang ini, menurut jurucakap Kementerian Luar di sini hari ini.


Beliau berkata, pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi adalah kerana syarikat penerbangan itu tidak mempunyai perkhidmatan ke Malaysia.


"Bas yang disediakan untuk membawa rakyat Malaysia dari Changi akan berhenti di perhentian bas di Larkin, Johor, Melaka Central, Seremban dan Universiti Putra Malaysia di Serdang” katanya.


Seramai 100 orang lagi rakyat Malaysia dibawa pulang dengan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia yang dijangka mendarat di Pangkalan TUDM di Subang pada 3 petang ini. – Bernama


Senarai Nama

10 February 2011

Krisis Mesir : Update Dari Akhbar..


Dua kumpulan penuntut Sabah di Mesir tiba esok

10/02/2011 6:52pm

KOTA KINABALU, 10 Feb. - Dua lagi kumpulan penuntut Sabah di Mesir akan tiba di sini esok manakala sekumpulan empat orang lagi akan meninggalkan Kaherah pada 13 Februari, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sukarti Wakiman.

Seramai 63 penuntut dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pukul 9 malam ini, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

"Ini termasuk seorang pelajar dan lima orang ahli keluarga Ustaz Sabli Aliju, Pegawai Tadbir Yayasan Sabah di Kaherah yang ada di Kuala Lumpur.

"Yang lain dijangka menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu dan tiba pada awal pagi esok, iaitu pukul 12.45 pagi,” katanya. - Bernama

Ops Piramid: Gabungan NGO Islam lahir penghargaan

10/02/2011 3:17pm

PUTRAJAYA, 10 Feb. - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam hari ini melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di atas kejayaan Ops Piramid, misi bagi menyelamat pelajar dan rakyat Malaysia dari Mesir.

Gabungan dianggotai 60 persatuan itu yang diketuai oleh Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr. Maamor Osman menyerahkan memorandum penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Najib di pejabat Perdana Menteri di sini.

Dr. Maamor berkata, dalam pertemuan dengan Najib itu, gabungan itu menyatakan penghargaan, perasaan terharu dan tahniah kepada Perdana Menteri dan pasukannya yang berjaya mengeluarkan rakyat Malaysia daripada krisis di Mesir dalam keadaan selamat pada tempoh yang sangat singkat.

"Ini adalah bukti yang sekiranya kita fokus kepada (slogan) Rakyat Didahulukan, kerja berpasukan, fokus kepada menyelesaikan masalah, apa yang sukar akan dapat diatasi,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Dr. Maamor berkata, pihaknya turut meminta jasa baik Perdana Menteri supaya memberi peluang kepada pelajar berkenaan daripada segi membenarkan mereka menyambung pelajaran sama ada di Malaysia atau di mana-mana tempat yang difikirkan perlu dan munasabah. - Bernama


08 February 2011

Ops Piramid : Operasi ke Jeddah dihenti

Misi kini tertumpu bawa pulang 9,000 pelajar ke tanah air 




KUALA LUMPUR: Operasi membawa rakyat Malaysia dari beberapa bandar raya utama sekitar Mesir ke Jeddah, Arab Saudi dihentikan tengah hari semalam waktu Mesir atau jam 3 petang waktu Malaysia semalam.
Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata berikutan itu baki lebih 2,000 pelajar dan mereka yang mahu pulang ke tanah air boleh berbuat demikian dengan pembiayaan sendiri.
Katanya, buat masa ini, keutamaan diberikan kepada operasi membawa pulang lebih 9,000 pelajar yang ditempatkan di Jeddah ke tanah air menerusi penerbangan komersial. 

“Kita sudah tutup operasi dari Kaherah ke Jeddah dengan membawa keluar 1,500 pelajar terakhir menjadikan jumlah semua dipindahkan ke Jeddah seramai 9,500 orang. 

“Daripada jumlah itu, 700 sudah sampai ke Kuala Lumpur dan bakinya akan dibawa pulang secara berperingkat mengambil masa lima hari dan dijangka berakhir Sabtu ini,” katanya semalam. 

Ditanya pelajar yang ditempatkan di Jeddah tetapi tidak mahu pulang, Kohilan berkata mereka boleh berbuat demikian namun kos pulang ke beberapa destinasi di Mesir perlu ditanggung sendiri. 
“Jika mereka memikirkan keadaan di Mesir sudah kembali pulih dan tidak mahu pulang ke Malaysia, tidak ada masalah. 

“Mereka boleh balik ke Mesir dengan inisiatif sendiri. Dari Jeddah ke Mesir pun tidak jauh. Namun, kebanyakan yang berada di Jeddah mahu pulang ke tanah air kerana ibu bapa hendak anak mereka balik,” katanya. 

Sumber :  Berita Harian

07 February 2011

Krisis Mesir: Kenyataan Akhbar Dari Wisma Putra 06.02.11

KENYATAAN AKHBAR

PROSES EVAKUASI RAKYAT MALAYSIA DI MESIR


Kerajaan Malaysia telah berjaya mencapai objektif untuk memindahkan pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir ke Jeddah. 

Proses evakuasi rakyat Malaysia telah dilakukan dengan jayanya melalui kerjasama di antara Kementerian Luar Negeri dengan Majlis Keselamatan Negara, Angkatan Tentera Malaysia, Tabung Haji dan agensi-agensi Kerajaan yang lain serta Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia yang telah bermula pada 3 Februari 2011. 

Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang telah di pindah keluar sehingga jam 7.00 malam, 6 Februari 2011 adalah seramai 5,799 orang. 

Mereka telah ditempatkan di Kompleks Tabung Haji di Jeddah. Kementerian Luar Negeri menjangkakan jumlah yang akan dipindahkan dari Mesir menjelang hari Isnin, 7 Februari 2011 adalah seramai lebih kurang 7,000 orang.

Penerbangan pertama yang akan membawa rakyat Malaysia dari Jeddah iaitu melalui pesawat MAS MH8029 dan Air Asia akan tiba di tanah air pada hari Isnin, 7 Februari 2011 jam 10.00 pagi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri serta Isteri, YB Dato’ Sri Anifah Hj. Aman, Menteri Luar Negeri serta beberapa Menteri Kabinet akan menyambut ketibaan rakyat Malaysia dari Mesir.

Dalam pada itu, situasi semasa di Mesir semakin bertambah baik di mana kebanyakan kedai makanan dan minuman telah mula beroperasi seperti biasa.

 Perkhidmatan perbankan juga mula beroperasi pada waktu-waktu tertentu bermula pada hari Ahad, 6 Februari 2011. 

Tunjuk perasaan di bandar-bandar utama di Mesir seperti Iskandariah dan Suez pula mula berkurangan manakala situasi keselamatan dan ketegangan di Kaherah lebih tertumpu di Medan Tahrir yang melibatkan penyokong pro-Presiden Mubarak dan pihak anti-kerajaan yang dilaporkan masih berterusan. 

Memandangkan keadaan bertambah baik, kemungkinan ada pelajar-pelajar Malaysia yang tidak berhasrat untuk balik ke Malaysia. Bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah bersedia memindahkan pelajar-pelajar Malaysia yang masih lagi berhasrat untuk balik ke Malaysia.


PUTRAJAYA

6 Februari 2011

06 February 2011

Krisis Mesir: Wisma Putra jangka ada pelajar tak mahu pulang

06/02/2011 11:04pm


KUALA LUMPUR, 6 Feb. - Kementerian Luar hari ini berkata kemungkinan ada pelajar Malaysia di Mesir tidak akan pulang ke tanah air memandangkan situasi semasa di negara yang bergolak itu bertambah baik.

Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini berkata, bagaimanapun Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah tetap bersedia memindahkan pelajar yang berhasrat untuk pulang.

Tunjuk perasaan di bandar-bandar utama di Mesir seperti Iskandariah dan Suez mula berkurangan, manakala situasi keselamatan dan ketegangan di Kaherah lebih bertumpu di Medan Tahrir yang melibatkan penyokong pro-Presiden Hosni Mubarak dan pihak antikerajaan yang dilapor masih berterusan, kata kenyataan itu.

Wisma Putra juga berkata, kebanyakan premis perniagaan seperti kedai makan dan minuman mula beroperasi seperti biasa termasuk perkhidmatan perbankan yang mula beroperasi pada waktu-waktu tertentu bermula hari ini. - Bernama

Krisis Mesir: Update Dari Utusan Malaysia


Arab Saudi pinjamkan dua pesawat hantar pulang penuntut

06/02/2011 11:25am

JEDDAH 6 Feb. - Kerajaan Arab Saudi turut membantu dalam proses penghantaran pulang penuntut Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir dan kini sedang ditempatkan di pusat transit Madinatul Hujaj, di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan Arab Saudi telah bersetuju membenarkan dua pesawat milik Saudi Airlines digunakan bagi membantu mempercepatkan proses membawa pelajar pulang ke tanah air.

"Kerajaan Arab Saudi telah bermurah hati memberi kita penerbangan ihsan menggunakan dua buah pesawatnya jenis 747 iaitu jumbo jet Saudi Airlines,” katanya kepada di sini. - Bernama


Madinatul Hujaj semakin dipenuhi penuntut Malaysia

06/02/2011 1:03pm

JEDDAH 6 Feb. - Tabung Haji dan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi akan memikirkan kaedah lain bagi menempatkan para penuntut Malaysia dari Mesir sekiranya jumlahnya melebihi keupayaan pusat transit Madinatul Hujaj, di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sehingga kini lebih 3,600 orang penuntut telah ditempatkan di pusat transit itu yang boleh menampung sehingga 4,000 orang pada satu-satu masa.

“Bagaimanapun ini bukan menjadi masalah kerana pihak Tabung Haji berpengalaman menguruskan sehingga hampir 30,000 orang jemaah haji setiap kali musin haji.

"Kita sedang menambah bilangan tilam dan bantal yang boleh digunakan pelajar kita. Pada Ahad penghantaran pulang sebahagian pelajar akan membolehkan kita mengurangkan kepadatan dan menerima pelajar lain yang baru sampai dari Kaherah,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini. - Bernama

Lebih 4,000 rakyat dan pelajar Malaysia dikeluarkan dari Mesir

06/02/2011 2:38pm

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Seramai 4,733 rakyat serta penuntut Malaysia dikeluarkan dari beberapa bandar di Mesir yang sedang bergolak ke Jeddah menerusi Ops Piramid.

Pegawai Media Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, Mejar Marina Harun memberitahu Bernama, setakat pukul 10 pagi tadi, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui tiga pesawat C-130 berjaya memindahkan 1,808 orang, tiga pesawat MAS (1,791) dan dua pesawat Air Asia (1,134).

Ops Piramid merupakan usaha untuk membawa rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir ke Jeddah di Arab Saudi. - Bernama


Krisis Mesir: Pemindahan pelajar ke Jeddah dijangka selesai hari ini

06/02/2011 8:35am

PENUNJUK perasaan antikerajaan berdiri di atas trak tentera dan polis Mesir yang musnah dan dijadikan halangan di Medan Tahrir, Kaherah, hari ini. Presiden Hosni Mubarak dilaporkan semakin menerima tekanan, termasuk dari Amerika Syarikat, untuk melaksanakan pelan peralihan kuasa. - Foto AP

KAHERAH 6 Feb — Operasi memindah keluar semua rakyat Malaysia terutamanya pelajar dari Mesir untuk ditempatkan di pusat transit di Jeddah dijangka berakhir hari ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab berkata pihaknya sedang berusaha membawa keluar kira-kira 9,000 pelajar yang secara sukarela mahu kembali ke tanah air.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Wisma Putra akan berusaha menyelesaikan pemindahan pelajar menjelang tengah hari esok, katanya kepada pemberita Malaysia di sini semalam.

Bagaimanapun, katanya kelewatan mungkin berlaku jika pemindahan itu mengalami masalah birokrasi, cuaca buruk dan kebenaran berlepas yang lewat diberikan oleh pihak berkuasa lapangan terbang di mana pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia beroperasi. — Bernama


05 February 2011

Krisis Mesir: Kenyataan Terkini Wisma Putra 5 Feb 2011



SITUASI TERKINI DI MESIR  
5 FEBRUARI 2011

Situasi terkini di Mesir masih tegang berikutan keganasan dan pertempuran yang tercetus di antara penyokong pro – Presiden Hosni Mubarak dengan penyokong anti-kerajaan terutamanya di bandar raya Kaherah dan Iskandariah di dalam protes yang dinamakan “Day of Departure”.  

Perintah berkurung yang telah dikenakan oleh Kerajaan Mesir di semua bandaraya utama di Kaherah telah dilonggarkan kepada pukul 6.00 petang sehingga 8.00 pagi.

Gerakan pemindahan (evacuation) sedang dilaksanakan.

Semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir adalah dilaporkan selamat.

Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang telah di evakuasi sehingga jam 1.30 tengah hari, 5 Februari 2011 adalah 2,336 orang.

Sejumlah 2,000 orang dijangka dapat di evakuasi pada penghujung hari ini, 5 Februari 2011.

Dijangkakan seramai 11,000 orang rakyat Malaysia akan dipindahkan dari Mesir menjelang Isnin, 7 Februari 2011.

Kesemua rakyat Malaysia telah ditempatkan di Kompleks Tabung Haji di Madinatul Al Hujjaj, Jeddahyang boleh menempatkan seramai 4,000 orang.

Terdapat seramai 161 pelajar Malaysia di Mesir, yang sedang bercuti di luar negara telah terkandas, masing-masing berada di Damsyik, Syria; Istanbul, Turki; Dublin, Ireland; London, Britain dan Paris, Perancis. Usaha sedang dilakukan dengan kerjasama MKN untuk menguruskan penghantaran pelajar-pelajar ini pulang ke Jeddah atau balik ke Malaysia.



Wisma Putra, PUTRAJAYA
5 Februari 2011 

Link-link Untuk Semak Nama Warga Malaysia yg Telah Selamat Di Bawa Keluar