Khamis Februari 3, 2011
SEPANG: Syarikat penerbangan AirAsia akan menyediakan pesawat jenis A340 dan A330 bagi membawa pulang warga Malaysia ke tanah air dari Jeddah, Arab Saudi.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranun berkata setiap pesawat boleh memuatkan kira-kira 300 penumpang pada satu-satu masa.
Syarikat penerbangan itu juga telah menyediakan pesawat A320 dengan kapasiti 180 penumpang sebagai "shuttle" dari Kaherah ke Jeddah, katanya.
Kamaruddin berkata, pesawat A320 akan berulang alik selama empat kali sehari bagi memindahkan warga Malaysia ke Jeddah, tempat transit sementara sebelum warga Malaysia dibawa pulang ke tanah air.
Kamaruddin bercakap kepada media sebelum berlepas ke Mesir dengan menaiki pesawat A320 tersebut bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail dan Ketua Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Terdapat lebih 11,000 warga Malaysia di Mesir yang rata-ratanya merupakan penuntut kini dilaporkan terperangkap ekoran pergolakan yang sedang berlaku di negara itu.
Selain AirAsia, tiga pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah pun berlepas ke Mesir hari ini dan sebuah pesawat Malaysia Airlines, Boeing 747 yang boleh membawa 285 penumpang pula akan berlepas ke Kaherah pada 9 pagi esok.
Wisma Putra sebelum ini memberi jaminan untuk menerbangkan sekurang-kurangnya 3,000 rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah setiap hari dan berharap semua penuntut Malaysia di sana dapat dipindahkan dalam masa empat hari setengah. BERNAMA
mStar Onine
No comments:
Post a Comment