29 March 2011

Krisis Nuklear Jepun :Bacaan silap radiasi di loji nuklear Fukushima


Beberapa pekerja bertugas di bilik kawalan di reaktor No. 2 selepas bekalan elektrik berjaya disambungkan di loji nuklear Fukushima pada 26 Mac lalu. – REUTERS


TOKYO 28 Mac – Kesilapan operator loji nuklear Fukushima, Tokyo Electric Co. (TEPCO) semalam mengeluarkan bacaan radiasi yang salah membangkitkan kemarahan kerajaan Jepun.
Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano menyifatkan kesilapan itu sebagai ‘tidak boleh dimaafkan sama sekali’.
Kebakaran, letupan dan kebocoran radiasi telah berkali-kali memaksa jurutera menggantung kerja bagi mengawal loji enam reaktor di Fukushima, termasuk semalam apabila paras radiasi di reaktor No.2 dikesan melonjak terlampau tinggi.
TEPCO awal semalam melaporkan paras radiasi di reaktor tersebut adalah 10 juta kali melebihi normal, menyebabkan petugas lari meninggalkan unit itu.
Namun pegawai kemudian memohon maaf selepas mengakui mereka tersilap kira dan angka yang sangat tinggi itu tidak munasabah.
Beberapa jam kemudian, Naib Presiden TEPCO, Sakae Muto berkata, ujian baru mendapati paras radiasi 100,000 kali melebihi normal, jauh lebih baik daripada bacaan awal walaupun masih sangat tinggi.
“Saya akui pekerja di tapak loji semakin letih, tetapi ujian radiasi itu digunakan untuk mengambil pelbagai keputusan berhubung keselamatan, kerana itu kesilapan mengeluarkan bacaan tidak boleh dimaafkan sama sekali,” kata Edano yang merupakan ketua jurucakap kerajaan.
Kecairan sebahagian rod tenaga nuklear di dalam bekas reaktor itu menjadi punca paras radiasi sangat tinggi di reaktor No. 2, katanya.
Edano menggambarkan insiden itu sebagai ‘sangat malang’ tetapi berkata, lonjakan paras radiasi dipercayai terbatas di dalam bangunan reaktor. – Reuters