Pages

Showing posts with label Perkembangan Terbaru. Show all posts
Showing posts with label Perkembangan Terbaru. Show all posts

22 February 2011

Krisis Timur Tengah : Kenyataan Akhbar Wisma Putra

KENYATAAN AKHBAR
BERKENAAN SITUASI SEMASA DI ALGERIA, BAHRAIN,
LIBYA DAN YEMEN

 
Kementerian Luar Negeri sentiasa memantau perkembangan terkini situasi di Algeria, Bahrain, Libya dan Yemen berikutan rusuhan dan tunjuk perasaan yang berlaku di negara-negara tersebut. Setakat ini, Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, Algeria; Manama, Bahrain; Tripoli, Libya; dan Sana’a, Yemen telah melaporkan bahawa kesemua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di negara-negara tersebut berada dalam keadaan selamat dan tidak terlibat di dalam rusuhan yang berlaku. Jumlah rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di Algeria adalah 60 orang, 500 orang di Bahrain, 150 orang di Libya dan 646 orang di Yemen.
 
Kementerian juga ingin menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara tersebut untuk mengikuti perkembangan terkini dan berhubung dengan pihak Kedutaan bagi mendapatkan sebarang bantuan sekiranya perlu.
 
Kementerian Luar Negeri telah mengarahkan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, Manama, Tripoli dan Sana’a untuk menghubungi dan menasihati semua pelajar dan rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di negara-negara berkenaan supaya mengambil langkah-langkah keselamatan sewajarnya dan mengelakkan dari berada di tempat-tempat yang berisiko tinggi tercetusnya rusuhan. Pada masa yang sama, pihak Kedutaan akan terus memantau keadaan terkini di negara-negara berkenaan serta mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi memastikan semua rakyat Malaysia berada di dalam keadaan yang selamat.
 
 
 
Kementerian Luar Negeri
PUTRAJAYA
 

10 February 2011

Krisis Mesir : Mesir, AS bertikam lidah ketika ketegangan memuncak





2011/02/10


WASHINGTON: Menteri Luar Mesir, Ahmed Abul Gheit, menuduh Amerika Syarikat cuba memaksakan kehendaknya ke atas sekutunya ketika Rumah Putih memberi amaran bahawa Kaherah gagal mencapai "tahap minimum" pembaharuan.


Abul Gheit berkata demikian dalam temubual bersama stesen televisyen PBS selepas Washington mengkritik Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman, yang bertanggungjawab mengadakan dialog dengan kumpulan pembangkang.
Beliau membidas apa yang disifatkannya sebagai retorik AS terhadap krisis yang dicetus penunjuk perasaan di Mesir itu.
“Apabila anda berbicara mengenai 'segera', 'serta merta', 'sekarang', seolah-olah anda memaksakan kehendak anda terhadap negara hebat seperti Mesir, negara sahabat yang sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan AS.


“Mesir dan Presiden Mesir, kerajaan Mesir sudah memulakannya," katanya merujuk pelan untuk rundingan peralihan kuasa kerajaan Hosni Mubarak.


Bagaimanapun, Washington menegaskan penunjuk perasaan yang berhimpun di Medan Tahrir akan menentukan masa depan Mesir, bukannya AS.


“Kami tidak cuba menentukan apa-apa," kata jurucakap Jabatan Negara, Philip Crowley. - AFP

07 February 2011

Ops Piramid: 778 rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air

MH8031 which carried a record 459 passengers comprising 446 adults and 13 infants, arrived at 10.00am. The national carrier was the first to return with stranded Malaysians since the rescue mission began on Thursday last week

07/02/2011 11:23am

SEPANG 7 Feb. – Kumpulan pertama 778 orang warga Malaysia yang dibawa pulang dari Mesir melalui Ops Piramid, selamat tiba di tanah air hari ini.

Rakyat Malaysia itu termasuk penuntut di Mesir, menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia dari Jeddah, tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 10 pagi.

Seramai 459 orang adalah penumpang MAS manakala 319 lagi penumpang AirAsia.

Ops Piramid merupakan usaha untuk membawa rakyat Malaysia yang terperangkap di Mesir, yang sedang dilanda pergolakan, ke Jeddah di Arab Saudi sebelum dibawa pulang ke tanah air. – Bernama

04 February 2011

Krisis Mesir: Update Dari Website Akhbar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan solat Jumaat dan solat hajat bagi keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir di Masjid Negara, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy 

3,600 rakyat Malaysia dipindah menjelang 6 pagi

04/02/2011 5:05pm

KOTA KINABALU 4 Feb. - Seramai 3,600 rakyat Malaysia di Mesir akan dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi menjelang 12 malam ini (waktu Mesir) atau 6 pagi waktu Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pemindahan yang bermula sejak semalam itu melibatkan tiga pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia dan empat pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia. - Utusan

Perintah berkurung dan hak pendaratan sulitkan operasi

04/02/2011 5:02pm

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Misi ”Ops Piramid” untuk memindahkan lebih 11,000 rakyat Malaysia di Mesir berhadapan dengan kekangan perintah berkurung dan hak pendaratan di lapangan terbang terlibat.

Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, perintah berkurung yang sebelum ini bermula dari pukul 4 petang hingga 8 pagi keesokannya kini telah dipercepatkan kepada pukul 1 petang.

"Kita terpaksa bergerak cepat untuk memastikan ramai pelajar dan rakyat kita (Malaysia) dapat dipindahkan kerana waktu yang ada begitu terhad dan ketika itulah kita nak bawa semuanya ke lapangan terbang,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, hak pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah juga agak sukar diperolehi akibat daripada keadaan tegang di Mesir.

Kohilan berkata, operasi hari ini akan mula bergerak ke kawasan luar Kaherah antaranya ke Iskandariah, Mansura, Tanta, Zagazig serta daerah lain untuk memindahkan rakyat Malaysia. - Bernama



Krisis Mesir: Penjelasan Operasi Piramid

   
  • Foto
    ANGGOTA TUDM menyertai misi menyelamat ke Mesir berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Subang, semalam.
  • Foto
  • Foto
    PENUNJUK antikerajaan (atas) dan penyokong Presiden Hosni Mubarak bertempur di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam.

Pesawat TUDM, MAS, AirAsia bersama kapal TLDM mula misi dengan kerjasama Indonesia

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam melancarkan Operasi Piramid bagi membawa keluar lebih 11,000 rakyat, terutama pelajar dari negara bergolak Mesir ke Jeddah, Arab Saudi dengan menghantar pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat dan kapal syarikat swasta ke negara itu. 

Operasi diketuai Panglima TUDM, Tan Sri Rodzali Daud, membabitkan tiga pesawat C130 Hercules TUDM, sebuah pesawat Boeing 747 MAS dan Airbus A320, A330 dan A340 milik AirAsia, kapal KD Bunga Mas 5 TLDM yang berada di Teluk Aden, berhampiran perairan Somalia serta kapal dagang Malaysia International Shipping Cooperation Berhad (MISC), dijangka membawa keluar rakyat Malaysia dalam tempoh empat hingga lima hari, mulai jam 6 pagi ini waktu Mesir (kira-kira jam 12 tengah malam tadi waktu Malaysia).


C130 Hercules akan berulang alik mengangkut mereka ke Jeddah dan ditempatkan di asrama Tabung Haji di sana sebelum pesawat komersial menerbangkan mereka pulang ke negara ini.


Pesawat pertama AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.30 petang semalam, diikuti C130 Hercules masing-masing pada jam 3 petang semalam dan 9.30 serta 10.30 malam tadi. MAS dijadualkan terbang jam 9.30 pagi ini dan dijangka tiba di Kaherah lapan jam selepas itu.

Operasi yang membabitkan kerjasama Kerajaan Malaysia dengan Indonesia itu membolehkan sesetengah rakyat Malaysia dan Indonesia di Kaherah, Iskandariah dan Mansourah menaiki pesawat MAS, AirAsia, TUDM dan Garuda yang dimiliki Kerajaan Indonesia dan sebaliknya. 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata operasi dilancarkan berikutan keselamatan di Kaherah sudah sampai pada tahap merah atau berbahaya dan kerajaan tidak mahu menunggu lebih lama untuk membawa keluar rakyat Malaysia.

Beliau berkata, perjalanan mereka dari tempat penginapan di Kaherah, Iskandariah, Mansourah dan beberapa tempat lain ke lapangan terbang serta pelabuhan, diuruskan 20 pegawai Kedutaan Malaysia dengan diselenggara Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay. 

“Kita sudah meminta Kerajaan Mesir memberi jaminan keselamatan sepanjang perjalanan ke lapangan terbang dan pelabuhan,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu semalam.

Mengenai rungutan orang ramai, terutama waris pelajar yang mendakwa kerajaan lambat bertindak, beliau berkata, kesukaran sistem perhubungan menerusi internet di Mesir menimbulkan pelbagai kerumitan kepada Wisma Putra untuk berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di sana.

“Saya sendiri tidak ke Mesir kerana jika ke negara itu, sukar untuk saya berhubung, apatah lagi dengan kedutaan negara lain kerana dalam keadaan begini, kita amat memerlukan kerjasama kedutaan negara lain. Bagaimanapun, Wisma Putra memberi jaminan keselamatan rakyat Malaysia walaupun ada beberapa kejadian penginapan mereka cuba dicerobohi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa tidak ke Mesir semata-mata untuk membawa anak mereka keluar kerana ada ibu bapa yang sudah berbuat demikian, tetapi terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Mengenai kesesakan talian Kedutaan Malaysia di Mesir dan bilik operasi Kementerian Luar di Putrajaya, Anifah berkata, ibu bapa harus bersabar kerana talian itu digunakan ribuan pengguna.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kapal dagang MISC yang berada di beberapa pelabuhan negara Teluk diminta membantu bagi mempercepatkan operasi.

“Kapal ini bersama KD Bunga Mas 5 akan bergerak secara konvoi ke Jeddah secepat mungkin. Pegawai kedutaan Malaysia di Mesir sedang menguruskan visa sementara bagi membolehkan pelajar kita ke Arab Saudi sebelum dibawa pulang ke Malaysia menaiki pesawat komersial. 

“Seboleh mungkin kita akan bawa keluar semua pelajar Malaysia dan kerajaan meminta semua pihak termasuk NGO turut membantu, termasuk menggunakan kepakaran masing-masing,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Operasi Piramid membabitkan masing-masing 30 orang daripada Kementerian Pertahanan dan pejabat kedutaan Malaysia di Mesir dan 20 daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar serta Jabatan Penuntut Malaysia.


03 February 2011

Krisis Mesir: Kenyataan Dari Wisma Putra

SITUASI TERKINI DI MESIR
Situasi terkini di Mesir bertambah tegang berikutan keganasan dan pertempuran yang tercetus di antara penyokong pro - Mubarak dengan penyokong antikerajaan. Pengumuman Presiden Hosni Mubarak untuk tidak bertanding di dalam pilihan raya Presiden pada bulan September 2011 tidak dapat diterima oleh penunjuk perasaan yang terus berdemonstrasi.

Gerakan pemindahan (evacuation) sedang dilaksanakan.
Semua penuntut dan rakyat Malaysia yang berada di Mesir adalah dilaporkan selamat. Pihak Kedutaan Besar Malaysia terus memantau perkembangan semasa di Mesir dan melaporkan sebarang perkembangan terkini kepada Kementerian Luar Negeri dari masa ke semasa.

Pelajar/rakyat Malaysia sedang berkumpul di tempat-tempat berikut untuk tujuan pemindahan:
·         Kaherah – Jeddah [Tempat berkumpul: Kompleks Haiyyu Ashir dan Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK)];
·         Iskandariah – Jeddah [Tempat berkumpul: Rumah MARA];dan
·         Mansourah – Iskandariah – Jeddah [Tempat berkumpul: Hotel New Mansourah @ 5 Februari 2011.

Sehingga kini, tiga pesawat C-130 Tentera Udara DiRaja Malaysia telah berlepas pada 2 Februari 2011. Pesawat-pesawat lain dijangka memulakan penerbangan mereka pada hari ini, 3 Februari 2011:

i)                    C-130
Tiga pesawat C-130 akan tiba di Jeddah pada 3 Februari 2011 seperti berikut:
-                      4.45pm;
-                      5.55pm; dan
-                      7.28pm
Perkhidmatan ulang-alik (shuttle) di antara Jeddah – Kaherah – Iskandariah akan bermula pada 4 Februari 2011 jam 06.00 pagi kerana enjin pesawat C-130 perlu direhatkan selama 24jam sebelum perjalanan dilakukan.


ii)                  MAS
Pesawat MH8010 (747) telah berlepas pada 9.20am, 3 Februari 2011 dan akan tiba di Kaherah pada 1.45pm. Selepas dua jam di Kaherah, MAS akan memulakan penerbangan ulang-alik (shuttle) untuk seramai 340 penumpang ke Jeddah, yang dijangka pada jam 4.00pm.


iii)                AirAsia
AirAsia X akan tiba di Kaherah pada 12.46pm, 3 Februari 2011 dan akan berlepas dari Kaherah pada jam 2.00pm dengan membawa pelajar dan rakyat Malaysia yang terperangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Jeddah.

Pesawat C-130, MAS dan AirAsia akan membawa bersama-sama bekalan makanan dan peralatan perubatan untuk diagih-agihkan kepada rakyat Malaysia di Mesir.   



Kapal Bunga Mas (BM5) sedang melalui Teluk Aden, telah menukar destinasinya dan dijangka berlabuh di Pelabuhan Ain Sukhna, Mesir pada 5 Februari 2011.

Sehingga kini, senarai negara yang telah membawa keluar rakyatnya dari Mesir adalah seperti berikut:
(i)          Jepun – bermula 31 Jan. 2011
(ii)        Indonesia – bermula 1 Feb. 2011
(iii)      China – bermula 31 Jan. 2011
(iv)      India – bermula 31 Jan. 2011
(v)        US – bermula 29 Jan. 2011
(vi)       UK – bermula 2 Feb. 2011
(vii)      Arab Saudi, UAE, Lubnan dan Jordan – bermula 29 Jan 2011
(viii)    Kanada – bermula 1 Feb. 2011

Untuk makluman, perintah berkurung yang dikenakan oleh Kerajaan Mesir di semua bandar raya utama termasuk di Kaherah dan Iskandariah telah dipanjangkan kepada 2.00 petang sehingga 8.00 pagi. Walau bagaimanapun, penunjuk perasaan masih berdemonstrasi di kebanyakan bandar raya utama.

Selain itu semua saluran komunikasi melalui internet/e-mel serta sistem pesanan ringkas (SMS) di kawasan Kaherah, Iskandariah dan beberapa tempat lain masih lagi digantung operasinya oleh Kerajaan Mesir. Walau bagaimanapun, talian telefon bimbit boleh digunakan, tetapi terhad.  

Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah boleh dihubungi seperti berikut:

Bilik Operasi, Kementerian Luar Negeri
Tel:     03-88892746 / 03-88874570 / 03-88874770 /
03- 8892830/019-2784566/019-3414080/019-3154080
                        Bilik Operasi, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir
                        Tel:     00 202 3760 7375 / 00 202 3761 0270

Wisma Putra, PUTRAJAYA
3 Februari 2011