Pages

Showing posts with label terkini. Show all posts
Showing posts with label terkini. Show all posts

09 February 2011

Krisis Mesir: Penduduk Mesir kembali protes

Penunjuk perasaan antikerajaan kembali memenuhi Dataran Tahrir di Kaherah, semalam bagi terus mendesak Mubarak berundur. – AFP




KAHERAH 8 Feb. – Beribu-ribu penunjuk perasaan kembali memenuhi Dataran Tahrir hari ini, kebanyakan mereka merupakan muka baru dan bertenaga bagi mendesak Presiden, Hosni Mubarak meletak jawatan masuk hari ke-15 setelah dataran itu lengang seketika minggu lalu.

Penunjuk perasaan meluahkan perasaan tidak puas hati mereka kerana mendakwa media kerajaan menipu berhubung perletakan jawatan presiden tersebut
.
Perhimpunan hari ini dilihat lebih besar berbanding hari-hari sebelumnya dengan ruang kosong di Dataran Tahrir dipenuhi dengan penunjuk perasaan dengan begitu cepat, menyertai sebahagian rakan-rakan mereka yang berkampung di dataran itu sebelum ini.

Wartawan Reuters, Dina Zayed berkata, perhimpunan hari ini lebih besar berbanding pada Jumaat lalu.
“Ini merupakan salah satu perhimpunan paling besar sejak tunjuk perasaan tercetus pada 25 Januari lalu bagi mendesak Mubarak berundur,” katanya.

Berdasarkan anggaran kasar, luas kawasan tunjuk perasaan itu boleh mengisi suku juta orang jika kawasan itu betul-betul padat dipenuhi dengan orang ramai.

Tunjuk perasaan turut kembali berlaku di bandar-bandar lain hari ini termasuk di Iskandariah dengan penduduk membawa sepanduk-sepanduk menggesa Mubarak berundur.

Penunjuk perasaan itu daripada semua lapisan umur dan latar belakang datang dari seluruh pelusuk Mesir sejak tengah hari.

Bekas menteri pengangkutan Mesir, Essam Sharaf yang menjadi menteri dari 2004 hingga 2005 dilihat turut menyertai penunjuk perasaan berarak menuju ke Dataran Tahrir hari ini dengan bersorak: “Kami mahu gulingkan rejim (Mubarak).”
Sementara itu, Mubarak semalam mengumumkan kenaikan gaji sektor awam sebanyak 15 peratus dan mengarahkan siasatan berhubung keganasan maut dalam tunjuk perasaan baru-baru ini, sebagai cubaan meredakan protes jalanan yang terus mendesaknya meletakkan jawatan.

Keputusan itu dibuat Mubarak selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet barunya untuk kali pertama semalam, sementara rejimnya berusaha menggerakkan semula ekonomi, meskipun menghadapi demonstrasi.
Lapor agensi berita rasmi MENA, Kabinet meluluskan rancangan untuk memberi kenaikan gaji sebanyak 15 peratus kepada kakitangan awam mulai April ini dan membelanjakan 6.5 bilion pound Mesir (RM2.91 bilion) bagi menaikkan pencen. – Reuters

04 February 2011

Krisis Mesir: Penjelasan Operasi Piramid

   
  • Foto
    ANGGOTA TUDM menyertai misi menyelamat ke Mesir berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Subang, semalam.
  • Foto
  • Foto
    PENUNJUK antikerajaan (atas) dan penyokong Presiden Hosni Mubarak bertempur di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam.

Pesawat TUDM, MAS, AirAsia bersama kapal TLDM mula misi dengan kerjasama Indonesia

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam melancarkan Operasi Piramid bagi membawa keluar lebih 11,000 rakyat, terutama pelajar dari negara bergolak Mesir ke Jeddah, Arab Saudi dengan menghantar pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat dan kapal syarikat swasta ke negara itu. 

Operasi diketuai Panglima TUDM, Tan Sri Rodzali Daud, membabitkan tiga pesawat C130 Hercules TUDM, sebuah pesawat Boeing 747 MAS dan Airbus A320, A330 dan A340 milik AirAsia, kapal KD Bunga Mas 5 TLDM yang berada di Teluk Aden, berhampiran perairan Somalia serta kapal dagang Malaysia International Shipping Cooperation Berhad (MISC), dijangka membawa keluar rakyat Malaysia dalam tempoh empat hingga lima hari, mulai jam 6 pagi ini waktu Mesir (kira-kira jam 12 tengah malam tadi waktu Malaysia).


C130 Hercules akan berulang alik mengangkut mereka ke Jeddah dan ditempatkan di asrama Tabung Haji di sana sebelum pesawat komersial menerbangkan mereka pulang ke negara ini.


Pesawat pertama AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.30 petang semalam, diikuti C130 Hercules masing-masing pada jam 3 petang semalam dan 9.30 serta 10.30 malam tadi. MAS dijadualkan terbang jam 9.30 pagi ini dan dijangka tiba di Kaherah lapan jam selepas itu.

Operasi yang membabitkan kerjasama Kerajaan Malaysia dengan Indonesia itu membolehkan sesetengah rakyat Malaysia dan Indonesia di Kaherah, Iskandariah dan Mansourah menaiki pesawat MAS, AirAsia, TUDM dan Garuda yang dimiliki Kerajaan Indonesia dan sebaliknya. 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata operasi dilancarkan berikutan keselamatan di Kaherah sudah sampai pada tahap merah atau berbahaya dan kerajaan tidak mahu menunggu lebih lama untuk membawa keluar rakyat Malaysia.

Beliau berkata, perjalanan mereka dari tempat penginapan di Kaherah, Iskandariah, Mansourah dan beberapa tempat lain ke lapangan terbang serta pelabuhan, diuruskan 20 pegawai Kedutaan Malaysia dengan diselenggara Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay. 

“Kita sudah meminta Kerajaan Mesir memberi jaminan keselamatan sepanjang perjalanan ke lapangan terbang dan pelabuhan,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu semalam.

Mengenai rungutan orang ramai, terutama waris pelajar yang mendakwa kerajaan lambat bertindak, beliau berkata, kesukaran sistem perhubungan menerusi internet di Mesir menimbulkan pelbagai kerumitan kepada Wisma Putra untuk berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di sana.

“Saya sendiri tidak ke Mesir kerana jika ke negara itu, sukar untuk saya berhubung, apatah lagi dengan kedutaan negara lain kerana dalam keadaan begini, kita amat memerlukan kerjasama kedutaan negara lain. Bagaimanapun, Wisma Putra memberi jaminan keselamatan rakyat Malaysia walaupun ada beberapa kejadian penginapan mereka cuba dicerobohi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa tidak ke Mesir semata-mata untuk membawa anak mereka keluar kerana ada ibu bapa yang sudah berbuat demikian, tetapi terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Mengenai kesesakan talian Kedutaan Malaysia di Mesir dan bilik operasi Kementerian Luar di Putrajaya, Anifah berkata, ibu bapa harus bersabar kerana talian itu digunakan ribuan pengguna.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kapal dagang MISC yang berada di beberapa pelabuhan negara Teluk diminta membantu bagi mempercepatkan operasi.

“Kapal ini bersama KD Bunga Mas 5 akan bergerak secara konvoi ke Jeddah secepat mungkin. Pegawai kedutaan Malaysia di Mesir sedang menguruskan visa sementara bagi membolehkan pelajar kita ke Arab Saudi sebelum dibawa pulang ke Malaysia menaiki pesawat komersial. 

“Seboleh mungkin kita akan bawa keluar semua pelajar Malaysia dan kerajaan meminta semua pihak termasuk NGO turut membantu, termasuk menggunakan kepakaran masing-masing,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Operasi Piramid membabitkan masing-masing 30 orang daripada Kementerian Pertahanan dan pejabat kedutaan Malaysia di Mesir dan 20 daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar serta Jabatan Penuntut Malaysia.


02 February 2011

Banjir: Keadaan Terkini

4 laluan masih ditutup kepada orang ramai ekoran banjir


02/02/2011 7:41pm


SEGAMAT 2 Feb. – Empat laluan di Segamat masih ditutup kepada orang ramai berikutan banjir dan jambatan runtuh.


Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat berkata, laluan tersebut adalah Segamat-Jementah yang ditutup ekoran jambatan runtuh dan tidak boleh dilalui orang ramai.


"Tiga laluan lain ditutup kerana dipenuhi air yang masih bertakung dan berbahaya untuk semua kenderaan membabitkan Segamat ke Buloh Kasap, Segamat ke Pogoh dan Bukit Kepong menghala Muar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau berkata, laluan di pusat bandar berjalan lancar dan hampir kesemua lampu isyarat utama berfungsi dengan baik menjelang sambutan Tahun Baru Cina esok.


Pengguna bagaimanapun dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati menghadapi sebarang kemungkinan walaupun cuaca mulai bertambah baik hari ini, katanya. – Bernama


Sumber: Utusan Malaysia

Jambatan dkt simpang UITM Segamat dari Jementah yang runtuh
Update terkini dari laman web rasmi Kerajaan Negeri Johor..