Pages

Showing posts with label Krisis Mesir. Show all posts
Showing posts with label Krisis Mesir. Show all posts

26 February 2011

Mesir:Berita baik untuk Pelajar tidak mampu untuk pulang sendiri.


Mesir: Pelajar tidak mampu boleh mohon bantuan kerajaan

26/02/2011 3:46pm

JITRA 26 Feb. — Pelajar yang tidak mampu menampung perbelanjaan pulang ke Mesir bagi meneruskan pengajian boleh memohon bantuan kerajaa, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail.

Beliau berkata, permohonan boleh dibuat kepada agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Semua permohonan akan dipertimbang secepat mungkin kerana mereka perlu kembali ke sana sebelum 12 Mac, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau turut meminta negeri-negeri yang belum membuat keputusan untuk membantu anak negeri masing-masing agar membuat keputusan segera. — Bernama

13 February 2011

Krisis Mesir:Lebih 600 banduan lari dari penjara Kaherah



13/02/2011 3:16am

KAHERAH 13 Feb. - Lebih kurang 600 orang banduan melepaskan diri dari penjara di Kaherah selepas rusuhan berlaku, hari ini.

Menurut pegawai keselamatan, beberapa orang terbunuh dan cedera ketika banduan-banduan tersebut membuat rusuhan dan orang yang tidak dikenali di luar Penjara Marg menembak kearah pengawal.

Ia merupakan kali kedua banduan melarikan diri secara beramai-ramai sejak 28 januari lalu di Penjara Abu Zaabal ketika demonstrasi besar-besaran yang mahu Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden.

Antara mereka yang berjaya melarikan diri ketika itu termasuk militan Pakistan dan sekurang-kurangnya 14 orang terkorban. - AFP

12 February 2011

Krisis Mesir:Penunjuk perasaan gotong royong bersihkan Medan Tahrir, Mesir

PENDUDUK tempatan membantu membersihkan sekitar kawasan di Dataran Tahrir selepas tunjuk perasaan berakhir. - Foto Effendy Rashid

2011/02/12

KAHERAH: Penunjuk perasaan mula bergotong-royong membersihkan kawasan tunjuk perasaan di Medan Tahrir di sini, sejak awal pagi tadi. 

Penunjuk perasaan dan orang awam membeli sendiri peralatan membersih seperti penyapu, penyodok dan plastik sampah.
Bagaimanapun, masih ada penunjuk perasaan yang berkhemah di kawasan terbabit, selain orang awam berpusu-pusu masuk untuk meraikan kejayaan menggulingkan Presiden Husni Mubarak.
Tentera pula lebih mesra berbual dengan orang awam yang turut mengambil peluang untuk bergambar dengan mereka dan berlatarkan kereta kebal serta perisai. 

11 February 2011

Krisis Mesir :Ops Piramid ke-2 jika Mesir kembali meruncing



11/02/2011 6:47pm


KUALA LUMPUR, 11 Feb. - Kerajaan akan menimbang untuk melancarkan Ops Piramid kedua jika keadaan kembali bertambah meruncing di Mesir memandangkan masih ada pelajar Malaysia yang berada di negara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.


Beliau berkata, kerajaan sedang memantau perkembangan mengenai keselamatan para pelajar Malaysia yang memilih untuk terus menetap di negara yang sedang bergolak itu.


"Kerajaan sedang melihat secara dekat perkembangan keadaan pelajar negara yang masih tinggal di Mesir, jika perlu untuk dilancarkan Ops Piramid kedua, ia akan diberikan perhatian,” katanya dalam satu persidangan akhbar di sini hari ini. - Bernama

Krisis Mesir : Mubarak dijangka berundur..

11/02/2011 3:16am


KAHERAH 11 Feb. – Presiden Hosni Mubarak akan berucap menerusi televisyen kebangsaan negara itu hari ini dan dijangka akan mengumumkan pengundurannya.


Ucapan tersebut dikatakan akan berlangsung pada pukul 10 malam waktu tempatan (4 pagi waktu Malaysia), kata jurucakap kerajaan.


“Ucapannya dijadual akan bermula pada pukul 10 malam ini (waktu tempatan),” kata Magdi Radi.


Televisyen negara itu sebelum ini menyiarkan perbincangan antara Mubarak dengan Timbalan Presiden, Omar Suleiman serta Perdana Menteri, Ahmed Shafiq di kediaman presiden di Heliopolis. - AFP

10 February 2011

Krisis Mesir : Kerajaan diminta taja separuh harga tiket kembali ke Mesir


2011/02/10

SEPANG: Ibu bapa beberapa pelajar Malaysia di Mesir meminta kerajaan memberi pertimbangan bagi menaja sekurang-kurangnya separuh harga tiket penerbangan untuk kembali ke negara itu apabila keadaan semakin pulih. 

Seorang penjawat awam, Husin Ibrahim, 55, berkata tidak semua ibu bapa mampu membeli tiket penerbangan untuk menghantar anak mereka kembali ke Mesir.

"Mungkin hanya lima peratus sahaja yang berkemampuan untuk membelikan tiket untuk anak, walaupun orang lazimnya berkata kalau yang belajar di luar negara, ibu bapanya mesti hidup senang.
"Tetapi kebanyakannya susah. Seelok-eloknya, kerajaan paling tidak bantu bayar separuh daripada harga tiket itu kerana harganya agak mahal," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menyambut kepulangan anaknya, Mohd Abdul Azim hari ini. 

Mohd Abdul Azim, 20, pelajar tahun pertama jurusan Ekonomi Islam Universiti Al-Azhar, adalah antara 567 pelajar dan rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air menerusi Ops Piramid dengan penerbangan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines. 

Husin, dari Kelantan, turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana membantu mengeluarkan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir tanpa mengira fahaman politik. 

Sementara itu, Saridah Suman, ibu pelajar tahun tiga jurusan perubatan Universiti Iskandariah iaitu Mohd Yady Abdullah, berkongsi pandangan sama. 
"Kalau boleh, kerajaan tanggung semua. Ramai ibu bapa yang susah. Jika tolak harga tiket daripada wang biasiswa, bimbang nanti anak tidak cukup perbelanjaan," kata beliau yang terpaksa membelanjakan RM70 sehari membeli kad prabayar untuk menghubungi Mohd Yadi dan pihak lain, termasuk kedutaan serta Wisma Putra, bagi mengetahui tahap keselamatan anaknya. 

Pelajar tahun pertama jurusan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mohd Hafiz Ahmad Rafi, 20, pula berkata bebanan membeli tiket begitu dirasai ibu bapa berpendapatan sederhana atau rendah, yang mempunyai beberapa anak menuntut di Mesir. 

"Kakak saya Nur Hasanah turut belajar di Mesir. Jadi kami minta kerajaan bantu keluarga yang berpendapatan rendah untuk bayar separuh harga tiket. Jika seorang RM1,800 sehala, kalau dua orang sudah RM3,600," katanya yang berasal dari Kedah. 

Dalam perkembangan berkaitan, Nur Hasanah, 23, pelajar jurusan Syariah Islamiyah berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila pertama kali menaiki pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia, ketika dipindahkan dari Kaherah ke Jeddah. 

"Bukan semua orang boleh naik Charlie, seperti kata (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Jamil Khir Baharom kepada kami ketika itu. Walaupun terpaksa menunggu selama 17 jam sebelum dipindahkan ke Jeddah dan duduk di lantai pesawat, kami tidak kisah," katanya sambil tersenyum. 

Roisah Mansor, 22, berkata mereka turut dibekalkan makanan semasa perjalanan tiga jam dari Kaherah ke Jeddah. 

"Kami perlu duduk rapat-rapat dalam pesawat Charlie supaya lebih ramai pelajar dapat dipindahkan," katanya yang berkongsi pengalaman pertama menaiki pesawat TUDM itu. 

Sehingga semalam, Ops Piramid mengeluarkan seramai 7,209 rakyat Malaysia dari beberapa bandar raya di Mesir ke Jeddah, dan 1,439 orang telah dibawa pulang ke tanah air. 

Kerajaan Arab Saudi turut menyediakan dua pesawat Boeing 747 milik Saudi Airlines bagi membantu mempercepatkan proses membawa pulang rakyat Malaysia. - BERNAMA 



Apa pendapat anda???
Sokong atau bantah???
Sila komen di bawah....

Krisis Mesir : Mesir, AS bertikam lidah ketika ketegangan memuncak





2011/02/10


WASHINGTON: Menteri Luar Mesir, Ahmed Abul Gheit, menuduh Amerika Syarikat cuba memaksakan kehendaknya ke atas sekutunya ketika Rumah Putih memberi amaran bahawa Kaherah gagal mencapai "tahap minimum" pembaharuan.


Abul Gheit berkata demikian dalam temubual bersama stesen televisyen PBS selepas Washington mengkritik Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman, yang bertanggungjawab mengadakan dialog dengan kumpulan pembangkang.
Beliau membidas apa yang disifatkannya sebagai retorik AS terhadap krisis yang dicetus penunjuk perasaan di Mesir itu.
“Apabila anda berbicara mengenai 'segera', 'serta merta', 'sekarang', seolah-olah anda memaksakan kehendak anda terhadap negara hebat seperti Mesir, negara sahabat yang sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan AS.


“Mesir dan Presiden Mesir, kerajaan Mesir sudah memulakannya," katanya merujuk pelan untuk rundingan peralihan kuasa kerajaan Hosni Mubarak.


Bagaimanapun, Washington menegaskan penunjuk perasaan yang berhimpun di Medan Tahrir akan menentukan masa depan Mesir, bukannya AS.


“Kami tidak cuba menentukan apa-apa," kata jurucakap Jabatan Negara, Philip Crowley. - AFP

Krisis Mesir : Update Dari Akhbar..


Dua kumpulan penuntut Sabah di Mesir tiba esok

10/02/2011 6:52pm

KOTA KINABALU, 10 Feb. - Dua lagi kumpulan penuntut Sabah di Mesir akan tiba di sini esok manakala sekumpulan empat orang lagi akan meninggalkan Kaherah pada 13 Februari, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sukarti Wakiman.

Seramai 63 penuntut dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pukul 9 malam ini, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

"Ini termasuk seorang pelajar dan lima orang ahli keluarga Ustaz Sabli Aliju, Pegawai Tadbir Yayasan Sabah di Kaherah yang ada di Kuala Lumpur.

"Yang lain dijangka menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu dan tiba pada awal pagi esok, iaitu pukul 12.45 pagi,” katanya. - Bernama

Ops Piramid: Gabungan NGO Islam lahir penghargaan

10/02/2011 3:17pm

PUTRAJAYA, 10 Feb. - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam hari ini melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di atas kejayaan Ops Piramid, misi bagi menyelamat pelajar dan rakyat Malaysia dari Mesir.

Gabungan dianggotai 60 persatuan itu yang diketuai oleh Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr. Maamor Osman menyerahkan memorandum penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Najib di pejabat Perdana Menteri di sini.

Dr. Maamor berkata, dalam pertemuan dengan Najib itu, gabungan itu menyatakan penghargaan, perasaan terharu dan tahniah kepada Perdana Menteri dan pasukannya yang berjaya mengeluarkan rakyat Malaysia daripada krisis di Mesir dalam keadaan selamat pada tempoh yang sangat singkat.

"Ini adalah bukti yang sekiranya kita fokus kepada (slogan) Rakyat Didahulukan, kerja berpasukan, fokus kepada menyelesaikan masalah, apa yang sukar akan dapat diatasi,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Dr. Maamor berkata, pihaknya turut meminta jasa baik Perdana Menteri supaya memberi peluang kepada pelajar berkenaan daripada segi membenarkan mereka menyambung pelajaran sama ada di Malaysia atau di mana-mana tempat yang difikirkan perlu dan munasabah. - Bernama


05 February 2011

Krisis Mesir : TUDM Rancang Lakukan Sembilan Penerbangan Antara Mesir Dan Jeddah Sehari

KAHERAH: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berharap dapat melakukan sekurang-kurangnya sembilan penerbangan ulang-alik bagi membawa rakyat Malaysia keluar dari Mesir ke Jeddah menggunakan tiga pesawat C-130 Herculesnya.
Ketua misi Kolonel Abdul Mutalib Wahab berkata setiap pesawat berupaya membawa 200 orang bagi setiap penerbangan, menjadikan jumlah keseluruhan 1,800 dapat dibawa keluar oleh TUDM setiap hari sehingga operasi selesai.
Bermula pada Sabtu operasi akan berjalan tanpa henti dan ketiga-tiga pesawat akan berlepas dari Jeddah selang sembilan jam setiap hari, katanya.
TUDM berjaya memulakan operasi pertama membawa keluar rakyat Malaysia dari Kaherah dan Iskandariah pada Jumaat selepas berhadapan dengan pelbagai rintangan termasuk mendapatkan kebenaran mendarat, kata Abdul Mutalib.
Penerbangan sulung TUDM itu berlepas dari Jeddah pada pukul 3.55 petang (waktu tempatan) dan mendarat di Kaherah pada pukul 7 malam (waktu Jeddah) pada Jumaat.
Sejurus mendarat, krew misi ini disambut Duta Malaysia ke Libya, Dzulkepli Mohd Nor yang bertindak selaku penyelaras serta Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab.
Seramai 150 pegawai dan anggota TUDM terlibat dengan misi tersebut.
Sementara itu Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay berkata operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Kaherah kini mencapai tahap sepenuhnya dengan sasaran mengangkut sekurang-kurangnya 3,000 orang sehari. - BERNAMA

04 February 2011

Egypt crisis: Update from DailyMail

Picture & Video







Source: Daily Mail

Krisis Mesir : Perpindahan pelajar lancar

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Usaha membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir berjalan lancar dengan 545 pelajar diterbangkan ke Jeddah dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia bermula 2 petang ini waktu Kaherah atau 8 malam waktu Malaysia.

Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, kumpulan pertama terdiri daripada 345 pelajar diterbangkan menggunakan pesawat MAS pukul 2 petang ini waktu Kaherah manakala selebihnya menerusi pesawat AirAsia 30 minit selepas itu.

Menurutnya, pelajar perempuan tahun pertama dan yang tidak sihat diberi keutamaan untuk dibawa keluar dari Mesir seberapa segera.

“Kita ambil pelajar-pelajar tersebut dari rumah-rumah negeri di sekitar Mesir termasuk yang menuntut di madrasah di samping melengkapkan sijil kecemasan kepada yang kehilangan pasport,” katanya ketika dihubungi di Kaherah, hari ini.

Kohilan berkata, setakat ini seramai 11,700 pelajar telah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kaherah sementara 5,000 lagi tidak berdaftar
.
Dalam pada itu, katanya, pihak kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk membawa keluar kesemua rakyat Malaysia dari Mesir secepat mungkin mengikut giliran dan keadaan.

Kohilan memberitahu, beliau menerima ratusan khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta kerajaan mempercepatkan proses tersebut
.
Beliau menjelaskan, kesemua pelajar yang dipindahkan ke Jeddah itu akan tinggal di beberapa buah asrama milik Tabung Haji dalam tempoh dua minggu hingga sebulan.

“Sekiranya keadaan kembali aman, pelajar-pelajar tersebut akan kembali ke Mesir untuk meneruskan pengajian masing-masing,” ujarnya.

Mengenai pergolakan politik di Kaherah, Kohilan memberitahu, keadaan semakin pulih yang mana penduduk boleh bergerak bebas dari satu tempat ke satu tempat manakala pasar mula dibuka seperti biasa.

Beliau menjelaskan, rusuhan hanya berlaku di sesetengah kawasan dan bukan di seluruh negara itu, manakala, sistem telekomunikasi sudah boleh digunakan termasuk penggunaan Internet.

Di KOTA KINABALU, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kerajaan memilih Jeddah sebagai lokasi penempatan sementara kerana ia merupakan negara jiran Mesir yang paling dekat dan selamat.

Menurut beliau, kerajaan bukannya tidak mahu membawa mereka pulang terus ke Malaysia, tetapi jumlah terlibat terlalu ramai iaitu kira-kira 11,379 pelajar yang mendaftar di Mesir.

“Kerajaan tidak mahu membuang masa untuk pulang ke Malaysia yang mengambil masa selama lapan hingga sembilan jam perjalanan.

“Kita berusaha memastikan semua rakyat Malaysia dapat dikeluarkan terlebih dahulu dan berada di tempat yang selamat,” katanya pada sidang akhbar hari ini
.
Ditanya mengenai kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Bunga Mas 5 yang sedang dalam perjalanan menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir, Anifah berkata, kapal tersebut ketika ini terpaksa menukar destinasi.

Katanya, kapal tersebut ketika ini sedang melalui Teluk Eden dan dijangka berlabuh di Pelabuhan Ain Sukhna, Mesir pada Sabtu ini.

Beliau memberitahu, KD Bunga Mas 5 mempunyai kapasiti mengangkut kira-kira 500 pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir untuk satu perjalanan.

Mengenai tempoh misi menyelamat semua rakyat Malaysia di Mesir akan selesai, Anifah berkata, berdasarkan jumlah rakyat yang direkodkan oleh kedutaan negara di Mesir iaitu seramai 11,379 orang, ia mungkin mengambil masa selama empat hari setengah.



Krisis Mesir: Penjelasan Operasi Piramid

   
  • Foto
    ANGGOTA TUDM menyertai misi menyelamat ke Mesir berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Subang, semalam.
  • Foto
  • Foto
    PENUNJUK antikerajaan (atas) dan penyokong Presiden Hosni Mubarak bertempur di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam.

Pesawat TUDM, MAS, AirAsia bersama kapal TLDM mula misi dengan kerjasama Indonesia

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam melancarkan Operasi Piramid bagi membawa keluar lebih 11,000 rakyat, terutama pelajar dari negara bergolak Mesir ke Jeddah, Arab Saudi dengan menghantar pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat dan kapal syarikat swasta ke negara itu. 

Operasi diketuai Panglima TUDM, Tan Sri Rodzali Daud, membabitkan tiga pesawat C130 Hercules TUDM, sebuah pesawat Boeing 747 MAS dan Airbus A320, A330 dan A340 milik AirAsia, kapal KD Bunga Mas 5 TLDM yang berada di Teluk Aden, berhampiran perairan Somalia serta kapal dagang Malaysia International Shipping Cooperation Berhad (MISC), dijangka membawa keluar rakyat Malaysia dalam tempoh empat hingga lima hari, mulai jam 6 pagi ini waktu Mesir (kira-kira jam 12 tengah malam tadi waktu Malaysia).


C130 Hercules akan berulang alik mengangkut mereka ke Jeddah dan ditempatkan di asrama Tabung Haji di sana sebelum pesawat komersial menerbangkan mereka pulang ke negara ini.


Pesawat pertama AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.30 petang semalam, diikuti C130 Hercules masing-masing pada jam 3 petang semalam dan 9.30 serta 10.30 malam tadi. MAS dijadualkan terbang jam 9.30 pagi ini dan dijangka tiba di Kaherah lapan jam selepas itu.

Operasi yang membabitkan kerjasama Kerajaan Malaysia dengan Indonesia itu membolehkan sesetengah rakyat Malaysia dan Indonesia di Kaherah, Iskandariah dan Mansourah menaiki pesawat MAS, AirAsia, TUDM dan Garuda yang dimiliki Kerajaan Indonesia dan sebaliknya. 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata operasi dilancarkan berikutan keselamatan di Kaherah sudah sampai pada tahap merah atau berbahaya dan kerajaan tidak mahu menunggu lebih lama untuk membawa keluar rakyat Malaysia.

Beliau berkata, perjalanan mereka dari tempat penginapan di Kaherah, Iskandariah, Mansourah dan beberapa tempat lain ke lapangan terbang serta pelabuhan, diuruskan 20 pegawai Kedutaan Malaysia dengan diselenggara Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay. 

“Kita sudah meminta Kerajaan Mesir memberi jaminan keselamatan sepanjang perjalanan ke lapangan terbang dan pelabuhan,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu semalam.

Mengenai rungutan orang ramai, terutama waris pelajar yang mendakwa kerajaan lambat bertindak, beliau berkata, kesukaran sistem perhubungan menerusi internet di Mesir menimbulkan pelbagai kerumitan kepada Wisma Putra untuk berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di sana.

“Saya sendiri tidak ke Mesir kerana jika ke negara itu, sukar untuk saya berhubung, apatah lagi dengan kedutaan negara lain kerana dalam keadaan begini, kita amat memerlukan kerjasama kedutaan negara lain. Bagaimanapun, Wisma Putra memberi jaminan keselamatan rakyat Malaysia walaupun ada beberapa kejadian penginapan mereka cuba dicerobohi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa tidak ke Mesir semata-mata untuk membawa anak mereka keluar kerana ada ibu bapa yang sudah berbuat demikian, tetapi terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Mengenai kesesakan talian Kedutaan Malaysia di Mesir dan bilik operasi Kementerian Luar di Putrajaya, Anifah berkata, ibu bapa harus bersabar kerana talian itu digunakan ribuan pengguna.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kapal dagang MISC yang berada di beberapa pelabuhan negara Teluk diminta membantu bagi mempercepatkan operasi.

“Kapal ini bersama KD Bunga Mas 5 akan bergerak secara konvoi ke Jeddah secepat mungkin. Pegawai kedutaan Malaysia di Mesir sedang menguruskan visa sementara bagi membolehkan pelajar kita ke Arab Saudi sebelum dibawa pulang ke Malaysia menaiki pesawat komersial. 

“Seboleh mungkin kita akan bawa keluar semua pelajar Malaysia dan kerajaan meminta semua pihak termasuk NGO turut membantu, termasuk menggunakan kepakaran masing-masing,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Operasi Piramid membabitkan masing-masing 30 orang daripada Kementerian Pertahanan dan pejabat kedutaan Malaysia di Mesir dan 20 daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar serta Jabatan Penuntut Malaysia.


Krisis Mesir: Update Dari Website Akhbar

10 jam terkandas di lapangan terbang

03/02/2011 11:50pm

KAHERAH 3 Feb. – Sekumpulan kira-kira 600 pelajar Malaysia di sini yang sepatutnya berlepas ke Jeddah, Arab Saudi kini masih terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ekoran masalah penerbangan.

Wakil Utusan Malaysia yang berada di lapangan terbang berkenaan mendapati sebahagian para pelajar tersebut sudah menunggu kira-kira 10 jam di lapangan terbang itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang turut berada di lapangan terbang tersebut memberi jaminan para pelajar berkenaan akan dibawa keluar dari Mesir menuju ke Jeddah dalam tempoh tiga jam lagi kerana pelepasan dari kerajaan Arab Saudi baru sahaja diterima.



Kumpulan pertama pelajar Malaysia berlepas ke Jeddah
Daripada Nazmi Yaakub

2011/02/03 
23:48:46 PM 

KAHERAH: Seramai 345 pelajar dari kumpulan pertama pelajar Malaysia di Mesir berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Jeddah, Arab Saudi, kira-kira jam 3.30 petang tadi waktu tempatan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS). 

Seramai 200 pelajar yang lain pula dijadualkan berlepas ke Jeddah dengan pesawat Air Asia kemudian.


03 February 2011

Krisis Mesir: Penerbangan ke KLIA ditukar ke Jeddah: Shahlan

2011/02/03

KUALA LUMPUR: Penerbangan membawa keluar pelajar dan rakyat Malaysia dari Kaherah terus ke Kuala Lumpur berikutan pergolakan di Mesir terpaksa dipinda kepada hanya penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail. 

Beliau berkata, pesawat pertama membawa rakyat Malaysia dari Kaherah yang pada mulanya dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 pagi esok itu, sebaliknya akan mendarat di Jeddah.
Shahlan berkata perubahan program pemindahan itu bertujuan membolehkan lebih ramai warga Malaysia dibawa keluar dalam tempoh lebih segera.
Pesawat sedia ada perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya agar membuat lebih banyak penerbangan ulang-alik Kaherah-Jeddah. 

"Semua pesawat yang ada daripada Penerbangan Malaysia (MAS), AirAsia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) akan beroperasi tanpa henti berulang-alik antara Jeddah dan Kaherah. 

"Kita mahu seramai mungkin rakyat kita berjaya dibawa keluar dari Mesir kerana keadaan semakin terdesak," katanya. 

Shahlan sebelum ini dilaporkan berkata penerbangan pertama membawa 309 orang termasuk pelajar serta mereka yang uzur dan wanita mengandung akan berlepas dari Kaherah, pada 1 tengah hari ini waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia) dan dijadualkan tiba di KLIA pada 5 pagi esok. 

Shahlan juga memaklumkan terdapat dua penerbangan yang membawa rakyat Malaysia ke Jeddah hari ini dari Kaherah manakala esok 12 penerbangan membabitkan enam pesawat. 

Katanya, selain pesawat, kapal milik Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), KD Bunga Mas 5, juga akan menyertai operasi pada Sabtu membawa keluar baki warga Malaysia ke Jeddah. 

Shahlan turut merayu kepada semua rakyat Malaysia dan pelajar yang berada di Mesir supaya sedar bawa mereka semuanya terperangkap dan hanya boleh keluar melalui langkah yang dirancang kerajaan. 

"Jadi, tak perlu menimbulkan sebarang provokasi di waktu ini kerana ia hanya akan mengakibatkan kekecohan yang tidak diingini dalam kalangan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan. 

"Kerajaan berjanji akan membawa semua pelajar dan rakyat keluar tidak kira dari negeri mana asalkan anda rakyat Malaysia, diharapkan semua bersabar," katanya. 

Shahlan kini berada di Kaherah untuk memantau keadaan di negara yang bergolak itu atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Beliau yang menyertai delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay, itu sentiasa memantau keadaan. - BERNAMA 


Krisis Mesir: Kenyataan Dari Wisma Putra

SITUASI TERKINI DI MESIR
Situasi terkini di Mesir bertambah tegang berikutan keganasan dan pertempuran yang tercetus di antara penyokong pro - Mubarak dengan penyokong antikerajaan. Pengumuman Presiden Hosni Mubarak untuk tidak bertanding di dalam pilihan raya Presiden pada bulan September 2011 tidak dapat diterima oleh penunjuk perasaan yang terus berdemonstrasi.

Gerakan pemindahan (evacuation) sedang dilaksanakan.
Semua penuntut dan rakyat Malaysia yang berada di Mesir adalah dilaporkan selamat. Pihak Kedutaan Besar Malaysia terus memantau perkembangan semasa di Mesir dan melaporkan sebarang perkembangan terkini kepada Kementerian Luar Negeri dari masa ke semasa.

Pelajar/rakyat Malaysia sedang berkumpul di tempat-tempat berikut untuk tujuan pemindahan:
·         Kaherah – Jeddah [Tempat berkumpul: Kompleks Haiyyu Ashir dan Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK)];
·         Iskandariah – Jeddah [Tempat berkumpul: Rumah MARA];dan
·         Mansourah – Iskandariah – Jeddah [Tempat berkumpul: Hotel New Mansourah @ 5 Februari 2011.

Sehingga kini, tiga pesawat C-130 Tentera Udara DiRaja Malaysia telah berlepas pada 2 Februari 2011. Pesawat-pesawat lain dijangka memulakan penerbangan mereka pada hari ini, 3 Februari 2011:

i)                    C-130
Tiga pesawat C-130 akan tiba di Jeddah pada 3 Februari 2011 seperti berikut:
-                      4.45pm;
-                      5.55pm; dan
-                      7.28pm
Perkhidmatan ulang-alik (shuttle) di antara Jeddah – Kaherah – Iskandariah akan bermula pada 4 Februari 2011 jam 06.00 pagi kerana enjin pesawat C-130 perlu direhatkan selama 24jam sebelum perjalanan dilakukan.


ii)                  MAS
Pesawat MH8010 (747) telah berlepas pada 9.20am, 3 Februari 2011 dan akan tiba di Kaherah pada 1.45pm. Selepas dua jam di Kaherah, MAS akan memulakan penerbangan ulang-alik (shuttle) untuk seramai 340 penumpang ke Jeddah, yang dijangka pada jam 4.00pm.


iii)                AirAsia
AirAsia X akan tiba di Kaherah pada 12.46pm, 3 Februari 2011 dan akan berlepas dari Kaherah pada jam 2.00pm dengan membawa pelajar dan rakyat Malaysia yang terperangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Jeddah.

Pesawat C-130, MAS dan AirAsia akan membawa bersama-sama bekalan makanan dan peralatan perubatan untuk diagih-agihkan kepada rakyat Malaysia di Mesir.   



Kapal Bunga Mas (BM5) sedang melalui Teluk Aden, telah menukar destinasinya dan dijangka berlabuh di Pelabuhan Ain Sukhna, Mesir pada 5 Februari 2011.

Sehingga kini, senarai negara yang telah membawa keluar rakyatnya dari Mesir adalah seperti berikut:
(i)          Jepun – bermula 31 Jan. 2011
(ii)        Indonesia – bermula 1 Feb. 2011
(iii)      China – bermula 31 Jan. 2011
(iv)      India – bermula 31 Jan. 2011
(v)        US – bermula 29 Jan. 2011
(vi)       UK – bermula 2 Feb. 2011
(vii)      Arab Saudi, UAE, Lubnan dan Jordan – bermula 29 Jan 2011
(viii)    Kanada – bermula 1 Feb. 2011

Untuk makluman, perintah berkurung yang dikenakan oleh Kerajaan Mesir di semua bandar raya utama termasuk di Kaherah dan Iskandariah telah dipanjangkan kepada 2.00 petang sehingga 8.00 pagi. Walau bagaimanapun, penunjuk perasaan masih berdemonstrasi di kebanyakan bandar raya utama.

Selain itu semua saluran komunikasi melalui internet/e-mel serta sistem pesanan ringkas (SMS) di kawasan Kaherah, Iskandariah dan beberapa tempat lain masih lagi digantung operasinya oleh Kerajaan Mesir. Walau bagaimanapun, talian telefon bimbit boleh digunakan, tetapi terhad.  

Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah boleh dihubungi seperti berikut:

Bilik Operasi, Kementerian Luar Negeri
Tel:     03-88892746 / 03-88874570 / 03-88874770 /
03- 8892830/019-2784566/019-3414080/019-3154080
                        Bilik Operasi, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir
                        Tel:     00 202 3760 7375 / 00 202 3761 0270

Wisma Putra, PUTRAJAYA
3 Februari 2011