KAHERAH 9 Ogos - Umat Islam di Sweden mengerjakan ibadat puasa bulan Ramadan lebih sukar pada tahun ini ekoran terpaksa berlapar lebih lama, menjangkau 18 jam sehari kerana musim panas di utara Eropah.
Presiden Liga Islam Sweden, Omar Mustafa berkata, ekoran isu itu, beberapa imam dan pertubuhan Islam berbeza pendapat tentang bagaimana penganut Islam di utara Eropah perlu berpuasa.
Belum ada sebarang keputusan berhubung perkara itu dicapai setakat ini, katanya.
"Ia terpulang kepada setiap individu untuk memutuskannya, tetapi itu tidak bermakna anda perlu berpuasa sepanjang hari.
"Islam memberikan umatnya banyak pilihan," kata Omar kepada akhbar Sweden, The Local.
Bermula 1 Ogos lalu, umat Islam di Eropah mula berpuasa bulan Ramadan yang jatuh pada musim panas di mana waktu siangnya lebih panjang daripada biasa.
Sebagai contoh, pada Isnin lalu di bandar Umea di utara Sweden, terbit fajar bermula pada pukul 3.47 pagi waktu tempatan dan matahari terbenam pada pukul 9.41 malam, iaitu hampir 18 jam.
Isu itu kini masih dibincangkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (ECFR) yang melibatkan imam-imam di seluruh Eropah.
"Isu ini sebenarnya telah lama dibincangkan dan tahun ini kita mengikut pergerakan matahari, tetapi perbincangan masih dijalankan," kata Omar.
Bagaimanapun cabaran itu sedikitpun tidak menjejaskan umat Islam di negara ini untuk menjalani ibadat berpuasa, malah menurut rangkaian pasar raya Coop, jualan mereka meningkat terutamanya barangan keperluan sepanjang Ramadan ini.
"Kami mendapati jualan buah- buahan, sayur-sayuran, daging halal dan kurma meningkat," kata pegawai media Coop, Louise Stephan.
Menurut anggaran agensi separa kerajaan, terdapat kira-kira 200,000 penduduk Islam di Sweden daripada sembilan juta penduduk negara itu. - AGENSI
*p/s: Kita dekat malaysia ni patut bersyukur sebab buka puasa lebih awal dari lain2 tempat dekat dunia ni...
No comments:
Post a Comment